Jumaat, 7 April 2017 | 7:53am

Masih ramai tiada rumah sendiri


FOTO hiasan. - Foto Zulaikha Zainuzman

KEGAGALAN memiliki kediaman sendiri antara isu yang sering diperkatakan sejak sekian lama dan sering ia menjadi 'perdebatan' ramai pihak terutama ketika situasi ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Tidak kira perbincangan di warung kopi atau rundingan di meja bulat, isu ini sememangnya terus membelenggu kebanyakan golongan pertengahan dan ke bawah.

Antara halangan yang mendorong kepada masalah pemilikan rumah terutama daripada kalangan golongan muda ialah nilai hartanah melambung tinggi, kesukaran mendapatkan pembiayaan, kos sara hidup semakin meningkat serta beban hutang.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga mendedahkan harga rumah di Malaysia meningkat pada kadar lebih sederhana, namun kebanyakan isi rumah masih belum mampu memiliki kediaman.

Menerusi Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016 yang dikeluarkan BNM baru-baru ini, isi rumah berpendapatan median RM4,585 (tanpa sebarang obligasi hutang lain atau tabungan) hanya mampu membeli rumah berharga di bawah RM260,000, iaitu selepas mengambil kira belanja sara hidup.

Menurut BNM, sebagai bandingan, harga rumah purata kebangsaan ialah RM334,736 pada akhir September 2016 dan harga transaksi rumah purata adalah antara RN435,000 hingga RM1.1 juta di kawasan pusat bandar.

"Pada tahun lalu, kerajaan sudah mewajibkan semua rumah baharu berharga hingga RM300,000 dihadkan kepada pembeli rumah kali pertama.

"Meskipun paras harga ini adalah titik rujukan bagi penetapan harga pelancaran bagi projek baharu oleh pemaju yang sepatutnya memudahkan pengimbangan semula bekalan perumahan ke arah segmen yang lebih mampu milik, tetapi kadar pelarasannya masih perlahan," katanya.

BNM menambah, pada separuh pertama 2016, hanya 28.6 peratus daripada pelancaran baharu membabitkan unit perumahan berharga di bawah RM250,000 berbanding 45.1 peratus bagi unit berharga antara RM250,000 hingga RM500,000, serta 26.3 peratus unit bernilai lebih RM500,000.

"Walaupun bekalan tambahan rumah mampu milik dijangka memasuki pasaran hasil inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), pelarasan harga selanjutnya oleh pemaju swasta diperlukan untuk memenuhi permintaan serta mengurangkan beban hutang bakal pembeli rumah," katanya.

BNM juga berkata, kualiti keseluruhan pinjaman perumahan bank kekal kukuh, disokong oleh amalan pemberian pinjaman dan penilaian berhemat selain profil pinjaman perumahan bank juga agak stabil sepanjang tahun lalu.

"Pembiayaan untuk pembelian rumah berharga di bawah RM500,000, merangkumi 82 peratus daripada pembiayaan perumahan terkumpul dan daripada jumlah itu, kira-kira 72 peratus adalah pembeli rumah pertama.

"Secara keseluruhannya, kira-kira 84 peratus peminjam bagi pinjaman perumahan mempunyai hanya satu pinjaman perumahan," katanya.

Memang tidak dinafikan, kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang banyak dibina di seluruh negara selain beberapa insentif lain yang disediakan bagi membantu meningkatkan kadar pemilikan kediaman.

Namun, masalah ini memerlukan penyelesaian secara 'tuntas' atau menyeluruh kerana ia membabitkan kerjasama semua pihak berkaitan.

Sama ada kerajaan atau peserta industri itu sendiri perlu mencari penyelesaian seimbang yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Bakal pembeli 'kediaman' itu pula perlu bijak menguruskan kewangan mereka tanpa menyalahkan pihak lain, tanpa menyedari 'kesilapan' diri sendiri.

Info:

- Sejumlah 456,197 permohonan pinjaman perumahan diterima oleh bank pada 2016, berbanding 474,225 permohonan pada 2015

- Sebanyak 61 peratus permohonan adalah bagi pembelian rumah berharga di bawah RM500,000, manakala separuh daripadanya adalah bagi rumah berharga di bawah RM250,000.

- Kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan pada 2016 adalah 23.6 peratus, menurun berbanding purata 26.1 peratus sepanjang 2012-2015.

Berita Harian X