Jumaat, 7 April 2017 | 8:06am

Alonso nafi spekulasi tinggalkan McLaren-Honda


Fernando Alonso. - Foto EPA

SHANGHAI: Fernando Alonso yang juga juara dunia dua kali menolak dakwaan betapa dia akan menarik diri daripada pasukan McLaren-Honda ketika saingan Formula Satu (F1) musim ini sedang berlangsung.

Enjin baharu Honda dikatakan kurang berkuasa dan tidak stabil berbanding tahun lalu dan pasukan McLaren kini menuju ke pusingan kedua Grand Prix China minggu ini dalam keadaan bergelut.

Tetapi Alonso berkata: "Saya lebih berminat untuk berlumba berbanding menghabiskan masa di pusat membeli-belah di kampung halaman saya."

Katanya dakwaan daripada bekas pelumba Mark Webber bahawa dia akan berhenti pada pertengahan musim sebagai 'tidak benar'.

"Jika seorang bekas pelumba ditemuramah, pasti terdapat satu soalan mengenai situasi ataupun kesukaran yang dihadapi Alonso," kata pelumba Sepanyol berusia 35 tahun itu.

"Semua orang (bertindak seperti) rapat dengan saya dan beranggapan saya tertekan dengan prestasi jentera, hakikatnya ia tidak seperti begitu.

"Dalam F1, saya cuba memberikan yang terbaik, persiapan saya lebih rapi berbanding sebelum ini. Saya juga memandu dengan pada tahap terbaik (di Grand Prix Australia)."

Alonso berada pada landasan yang betul untuk meraih mata menerusi penamat ke-10 di Grand Prix Australia, bulan lalu, tetapi dikecewakan masalah kerosakan pada jentera.

Dia pada awalnya berjaya menahan asakan dua pencabar sebelum kerosakan berpunca daripada sistem brek memaksanya menarik diri di hujung perlumbaan.

Kontrak Alonso bersama McLaren akan tamat pada akhir musim ini dan terdapat spekulasi berterusan dia mungkin berhijrah ke Mercedes pada 2018, selepas pasukan juara dunia itu hanya menandatangani Valtteri Bottas untuk tempoh setahun. - Reuters

23 dibaca
Berita Harian X