Jumaat, 7 April 2017 | 5:24pm

Restoran diarah tutup selepas tikus berkeliaran

 

JOHOR BAHRU: Sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini, diarah tutup pagi tadi selepas video tikus berkeliaran di tempat hidangan makanannya, menjadi viral dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata arahan penutupan selepas pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, kira-kira jam 11 pagi tadi susulan aduan daripada orang awam.

Katanya, arahan penutupan restoran itu juga dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak bersih dan boleh ditutup sehingga 14 hari.

"Selain itu, notis juga dikeluarkan mengikut Seksyen 32B akta yang sama berikutan kegagalan pekerja restoran berkenaan tidak memakai penutup kepala dan kasut.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati kerja pembersihan yang dijalankan dalam restoran berkenaan tidak memuaskan dengan penarafan 60 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Video berdurasi kira-kira 22 saat yang memaparkan seekor tikus berkeliaran di tempat hidangan makanannya dan dipercayai dirakam oleh seorang pelanggan di restoran berkenaan sebelum menjadi viral dalam laman sosial. 

 


PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat (kanan) diiringi Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin (dua dari kiri) dan Ketua Bahagian Projek IRDA, Mohd Zam Mustaman (kiri) melawat Sungai Segget sempena lawatan projek Sungai Segget di Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
29 dibaca
Berita Harian X