Jumaat, 7 April 2017 | 5:52pm

Jangan dedah maklumat peribadi - ABM

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon mendakwa dari institusi perbankan berhubung tunggakan pembayaran pinjaman atau pengesahan transaksi kad kredit.

Ini kerana panggilan sedemikian dikhuatiri didalangi sindiket penipuan yang mahukan maklumat peribadi pemilik akaun mana-mana bank untuk digunakan bagi tujuan penipuan.

Menerusi aduan diterima oleh Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), mereka mengenal pasti dua jenis modus operandi (MO) yang biasa digunakan sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.

"MO pertama adalah mangsa akan menerima panggilan daripada mesej suara yang direkodkan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan dengan pihak bank dan perlu menghubungi pegawai khidmat pelanggan atau menelefon jabatan perkhidmatan pelanggan bank terbabit di nombor tertentu.

"MO kedua pula pemanggil akan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank meminta mangsa membuat pengesahan berhubung satu transaksi kad kredit miliknya atau mangsa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman atau kad kredit," menurut ABM dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut ABM, pemanggil kemudian meminta mangsa memberikan maklumat peribadinya seperti nombor kad pengenalan kononnya untuk membuat semakan di dalam sistem mereka.

"Dalam kes tertentu, pemanggil akan 'memindahkan' panggilan kepada seorang 'pegawai' lain di bahagian aduan atau jabatan sama.

"Mangsa kemudian dinasihatkan menghubungi pihak Bank Negara atau polis di nombor yang mereka berikan, yang mana nombor itu bukan nombor sebenar yang digunakan Bank Negara atau polis," katanya.

Justeru, orang ramai yang menerima panggilan sedemikian diminta agar tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat peribadi kepada mereka dan jangan telefon ke nombor telefon yang diberikan.

"Sebaliknya orang ramai perlu menghubungi bahagian khidmat pelanggan bank berkaitan menggunakan nombor telefon yang tertera di laman web rasmi bank berkenaan.

"Ini untuk memastikan panggilan yang diterima itu asli atau sebaliknya.

"Kita minta semua pelanggan bank tidak sewenang-wenangnya memberikan sebarang maklumat peribadi kepada pihak lain menerusi panggilan telefon," katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkara itu boleh menghubungi Hotline ABMConnect di nombor 1-300-88-9980 atau emel kepada eABMConnect dengan mendaftar masuk di laman web www.abm.org.my

Berita Harian X