Jumaat, 7 April 2017 | 11:23pm

Diana Danielle berduet dengan penyanyi Denmark

DIANA Danielle pada Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video Tentang Kita di Damansara. - Foto Aziah Azmee

PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle, menganggap dirinya cukup bertuah apabila diberikan peluang berduet dengan penyanyi antarabangsa, Christopher Nissen.

Belum mahu mendedahkan judul lagu yang dirakamkan mereka, Diana berkata, kerjasama itu dilihat sebagai pembuka laluan untuknya bergerak lebih aktif dalam arena muzik.

Nissen, 25, ialah penyanyi kelahiran Frederiksberg, Denmark, dan pernah memenangi Anugerah Muzik Denmark 2012.

"Berduet dengan Nissen ialah peluang keemasan yang diberikan oleh Warner Music, yang tidak mungkin saya lepaskan begitu saja.

"Bukan mudah untuk seorang pelakon seperti saya, yang kembali aktif menyanyi, untuk mendapat peluang sebegini. Ia tentunya menjadi platform untuk bakat saya lebih dikenali lagi," katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya, Tentang Kita hari ini, Diana berkata, buat permulaan syarikat rakaman ingin menyediakan ruang untuknya bertapak dalam dunia seni suara terlebih dulu.

"Saya kena memperkukuhkan kerjaya nyanyian dulu, kemudian barulah saya boleh fikir untuk menghasilkan album pula selepas ini," kata Diana, 25.

Ibu kepada dua cahaya ini turut berkata, beliau akan meneruskan kerjaya lakonannya seperti biasa walaupun sudah memiliki lagu sendiri.

"Saya tidak kata akan memperlahankan kerjaya lakonan, cuma tumpuan saya ketika ini lebih diberikan kepada nyanyian.

"Dalam arena muzik, saya mempunyai lebih banyak masa untuk menguruskan keluarga. Saya sendiri seronok dengan apa yang dilakukan sekarang, malah suami (pelakon Farid Kamil) turut memberikan keizinan untuk saya terbabit dalam bidang nyanyian," katanya yang kali akhir menemui peminat di layar lebar menerusi filem Hanyut, tahun lalu.

Berita Harian X