Sabtu, 8 April 2017 | 4:09pm

Haziq Hot FM teruja timang anak lelaki

HAZIQ Hussni, mengakui perasaannya bercampur-baur sebaik saja isterinya, Ayunda Putri Mekarsari, melahirkan cahaya mata lelaki secara pembedahan pada jam 9.29 malam tadi.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni, 27, mengakui perasaannya bercampur-baur sebaik saja isterinya, Ayunda Putri Mekarsari, melahirkan cahaya mata lelaki secara pembedahan pada jam 9.29 malam tadi.

Haziq berkata, isterinya dimasukkan ke hospital pada jam 10.30 pagi selepas mengalami tanda awal untuk bersalin. Doktor bagaimanapun, mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan.

"Bagi saya, apa yang penting nyawa Putri dan anak yang dilahirkan selamat. Sukar untuk saya ungkapkan detik indah ketika melafazkan azan ke telinga anak buat kali pertama.

"Perasaannya begitu syahdu hingga membuatkan air mata saya bergenang. Saya ingin sekali berterima kasih kepada Putri yang bertarung nyawa melahirkan zuriat sulung kami. Ia membuatkan saya sedar betapa susahnya ibu ketika melahirkan saya dulu," kata Haziq.

Menyifatkan dirinya seperti masih bermimpi, Haziq berkata bayi seberat 3.07 kilogram itu masih belum diberi nama dan hanya akan mengumumkannya dalam masa tujuh hari.

Pengacara program Nasi Lemak Kopi O (NLKO) itu juga berazam, mahu memberi lebih tumpuan kepada isteri dan anaknya biarpun jadual hariannya sarat dengan pelbagai komitmen.

"Putri memerlukan perhatian yang lebih kerana keadaannya masih lemah. Insya-Allah, isteri akan melalui proses berpantang di Ampang selain Rawang.

"Tanggungjawab yang saya pikul juga semakin besar kerana sudah bertukar status sebagai bapa. Saya perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya kerana mahu kedua-duanya bergerak seimbang," katanya.

Haziq mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya yang juga wanita kelahiran Medan, Indonesia itu pada 15 Julai tahun lalu.

Berita Harian X