Sabtu, 8 April 2017 | 10:03pm

Program pembiayaan ikut bajet pembeli


PENGGUNA boleh miliki MINI 3 Door dan MINI 5 Door dengan tawaran Program Full Circle.

MINI Malaysia memperkenalkan Program Full Circle, satu program pembiayaan terkini yang disediakan oleh pihak BMW Credit Malaysia.

Program itu menawarkan lebih fleksibiliti dan ketenangan minda kepada pengguna yang mahu memiliki MINI 3 Door dan MINI 5 Door.

Menerusi Program Full Circle, pengguna MINI boleh memiliki kereta berkenaan dengan memilih model kegemaran masing-masing.

Seterusnya, buat pilihan jumlah perbatuan yang dikehendaki dan di akhir tempoh program itu, pengguna akan diberi beberapa cara untuk menyelesaikan bayaran.

Antaranya termasuklah dengan menyerahkan kunci kepada MINI Financing berdasarkan terma dan syarat program; melakukan 'trade-in' atau menjual MINI mereka kepada mana-mana pengedar sah MINI untuk mendapatkan sebuah MINI baharu; menjelaskan semua bayaran dan menyimpan MINI mereka atau melanjutkan tempoh kontrak untuk menggunakan MINI mereka dalam tempoh yang lebih lama.

Program Full Circle ini bermula dari RM1,348.00 sebulan untuk MINI 3 Door dan dari RM1,378.00 sebulan bagi MINI 5 Door.

Ia hanya ini sah digunakan untuk model-model baharu MINI Hatch sahaja.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, MINI sentiasa mencabar setiap batasan dalam usahanya menawarkan yang terbaik kepada semua peminatnya.

"Ketika kami memacu jualan MINI Hatch sepenuhnya, kami turut berasakan bahawa sudah tiba masanya untuk merevolusikan program pembiayaan MINI bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan yang memperkenalkan mengenai tawaran baharu itu di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Direka untuk meningkatkan aspek fleksibiliti dan jaminan kepada pemilik MINI, program yang telah diubah suai itu menawarkan rangkaian pilihan penyelesaian pinjaman berdasarkan kepada bajet pemiliknya.

Selain itu, jenama automotif kompak premium yang paling sofistikated di Malaysia itu turut mengumumkan penambahan ciri baharu ke dalam kenderaan ikoniknya dengan meningkatkan spesifikasi varian-varian MINI 3 Door dan MINI 5 Door.

Bagi MINI 3 Door, antara pembaharuan yang ditawarkan termasuklah varian Cooper kini didatangkan dengan gril dan hendal pintu belakang berwarna hitam berkilat. Ciri itu membuatkannya kelihatan semakin moden tanpa menjejaskan siluet klasiknya.

Sementara itu, teknologi LED yang canggih hadir dalam bentuk lampu utama dan lampu kabus LED.

Dipasang pada semua model MINI, lampu tersebut jelas menyerlah pada waktu malam dan siang - ia diserlahkan lagi menerusi lampu nyalaan siang berbentuk omega.

INFO:

Semua varian MINI 3 Door dan MINI 5 Door didatangkan bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 Tahun dan Servis Berjadual Percuma.

Anggaran harga runcit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah:

MINI Cooper 3 Door - RM 188,888.00

MINI Cooper S 3 Door - RM 229,888.00

MINI John Cooper Works 3 Door - RM 293,888.00

MINI Cooper 5 Door - RM 193,888.00

MINI Cooper S 5 Door - RM 239,888.00

Berita Harian X