Sabtu, 8 April 2017 | 11:31pm

Titans nyaris aibkan Bos Gaurus di Ipoh

PEMAIN Perak, Muhamad Zaquan Adha Abd Razak (kanan) berjaya menghalang pemain T-Team, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Jaringan penalti pada masa kecederaan oleh Abdul Hadi Yahya menyelamatkan Perak daripada menerima aib di laman sendiri apabila sekadar seri dengan T-Team 2-2, malam tadi.

Ketika kekalahan kelihatan sudah di ambang mata, tuan rumah dihadiahkan penalti oleh pengadil Mohamad Zamzaidi Katimin selepas bola terkena tangan pemain T-Team dalam kotak penalti. 

Abdul Hadi tenang menewaskan penjaga gawang, Mohd Haidz Romly untuk mengikat kedudukan.

Sehingga jaringan itu, Perak nyaris diaibkan oleh skuad The Titans yang bangkit untuk mendahului 2-1.

Sebelum itu, tuan rumah membuat permulaan baik apabila menyerang ke kubu lawan sebaik sepak mula dan usaha mereka berhasil apabila Yashir Pinto merembat gol pendahuluan pada minit ke-12. 

Bagaimanapun T-Team bangkit melalui jaringan penyamaan Dishod Sharofetdinov pada minit ke-48, sebelum Muhmad Fakhrurazi Musa meletakkan mereka di depan pada minit ke-71.

Berita Harian X