Ahad, 9 April 2017 | 12:45pm

Russia, Iran ikrar bantu rejim Bashar

BEIRUT: Pemimpin tentera Russia dan Iran berikrar akan terus memerangi 'pengganas' di Syria, sehari selepas serangan Amerika Syarikat (AS) di pangkalan udara negara itu dengan alasan membalas serangan kimia di Idlib.

Jeneral Valery Gerasimov dan Mejar Jeneral Mohammad Bagheri dalam perbualan telefon dengan agensi berita Iran, IRNA mengutuk tindakan AS sebagai pencerobohan terhadap sebuah negara yang merdeka.

Russia dan Iran adalah sekutu rapat Presiden Bashar al-Assad yang menggelar semua penentang rejim sebagai 'pengganas.'

Kapal perang AS di Mediterranean melancarkan 59 peluru berpandu di pangkalan udara Shayrat pada awal Jumaat, selepas 87 orang, termasuk 31 kanak-kanak terbunuh dalam serangan kimia di kawasan yang dikuasai pemberontak di Khan Sheikhun, Idlib.

Ia adalah tindakan ketenteraan pertama secara langsung oleh Washington terhadap kerajaan Bashar.

KAPAL perang AS di Mediterranean melancarkan 59 peluru berpandu di pangkalan udara Shayrat pada awal Jumaat. - Foto EPA
KAPAL perang AS di Mediterranean melancarkan 59 peluru berpandu di pangkalan udara Shayrat pada awal Jumaat. - Foto EPA

Serangan udara kedua di bandar yang sama wilayah barat laut Idlib pada Sabtu menyebabkan seorang wanita terbunuh, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain.

Bagaimanapun, SOHR tidak pasti sama ada serangan itu dilakukan oleh tentera Syria atau Russia.

Pemantau juga melaporkan serangan udara di Urum al-Joz, dipercayai pesawat Russia, pada hari sama membunuh 18 orang awam, termasuk lima kanak-kanak.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menuduh Washington 'bermain permainan keganasan,' ketika perbualan telefon pertama dengan rakan sejawatannya, Rex Tillerson sejak serangan udara AS di Syria. - AFP

Berita Harian X