Ahad, 9 April 2017 | 6:23pm
ANTARA ibu bapa dan penjaga yang hadir di program Blue Kids Fun Zone sempena bulan kesedaran autisme di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan. - Foto Khairull Azry Bidin

PERMATA rai 2,000 kanak-kanak autisme

DATIN Seri Rosmah Mansor menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak autisme ketika tiba di program Blue Kids Fun Zone sempena bulan kesedaran autisme di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 kanak-kanak autisme termasuk keluarga mereka diraikan pada program Blue Kids' Fun Zone yang diadakan sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Program anjuran PERMATA Kurnia itu adalah inisiatif bagi menghargai kanak-kanak austime, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai golongan istimewa ini.

Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata program itu bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak autisme terhadap dunia luar, sekali gus membolehkan masyarakat lebih mengenali golongan ini.

"Program ini bertujuan membantu kanak-kanak autisme mengenali dunia luar dan memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa mereka juga boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

"Pada masa sama, program itu turut menyediakan aktiviti menarik yang dirancang khusus bagi melatih kanak-kanak autisme memperbaiki kemahiran diri termasuk berkomunikasi, sosial dan kognitif," katanya kepada media selepas majlis berkenaan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Majlis Sukan Negara, di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

PERMATA Kurnia adalah sebuah pusat autisme di Sentul, di sini, untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak autisme bagi mengembangkan potensi mereka dalam pendidikan di aliran perdana.

Sementara itu, pengunjung, Nen Farahana Ahmad Fooad, 33, yang mempunyai anak autisme berkata, program itu memberi peluang anaknya, Eiman Uqail Abdul Mun Eim, 6, melatih diri, selain bergaul dengan kanak-kanak lain.

"Program ini menyediakan aktiviti bersesuaian kepada Eiman yang mempunyai masalah sensori dan ia sangat membantu untuk memperbaiki kemahirannya," katanya.

Kakitangan swasta, Sabahanim Mohd Noor, 43, pula berkata, ibu bapa juga tidak lagi berasa asing apabila berada di program itu kerana mereka berkongsi situasi sama dalam membesarkan kanak-kanak autisme.

Berita Harian X