Isnin, 10 April 2017 | 7:19pm

KDN perkenalkan SPPA, ePPAx elak orang tengah

DATUK Seri Alwi Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Sistem Pengambilan Pekerja Asing (SPPA) dalam talian sepenuhnya yang sudah mula beroperasi pada 1 April lalu bagi mengelakkan pembabitan orang tengah.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pendekatan itu dapat mengurangkan kos pengambilan dan pentadbiran pekerja asing, memendekkan tempoh merekrut pekerja asing dan membendung penganiayaan serta pemerdagangan pekerja asing.

"Kerajaan membangunkan dua sistem dalam talian iaitu sistem ePPAx bagi pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali Bangladesh dan sistem SPPA bagi pengambilan pekerja asing warga Bangladesh sahaja.

"Kedua-dua sistem ini dibangunkan bagi permohonan pekerja asing sektor formal iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan tetapi tidak termasuk pembantu rumah asing.

"Bagi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx), permohonan penggajian pekerja asing bagi negara sumber selain Bangladesh boleh dibuat secara online mulai 1 Februari 2017 melalui pautan https://www.eppax.gov.my.

"Manakala bagi Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA), permohonan bagi negara sumber iaitu Bangladesh boleh dibuat secara online mulai 10 Februari 2017 melalui pautan portal.sppa.com.my," katanya.

Alwi menjelaskan, proses awal penilaian kelayakan majikan akan dilaksanakan secara dalam talian berdasarkan maklumat yang diberikan majikan dan majikan akan dipanggil untuk proses temu duga di Pusat Kelulusan setempat (OSC) KDN.

Ia bagi mengesahkan permohonan berkenaan dikemukakan oleh majikan sebenar, selain untuk memuktamadkan kelulusan kuota berdasarkan kelayakan sebenar majikan dan hanya selepas proses temu duga dan kelulusan kuota di OSC KDN, majikan boleh memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Bagi tujuan pemakluman pelaksanaan sistem dalam talian pula, kata Alwi, kerajaan sudah membuat hebahan awal melalui laman sesawang rasmi kementerian dan menganjurkan beberapa sesi dengan pihak berkepentingan, pihak industri dan wakil kesatuan industri.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang rasmi KDN, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Berita Harian X