Selasa, 11 April 2017 | 1:31pm
PEMAIN Pahang FA, Matheus Alves Leandro menandatangani autograf dengan pelajar-pelajar ketika sesi bertemu pada Majlis Jejak Juara Tok Gajah bersama pemain-pemain pasukan Bola Sepak Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Jejak Juara Tok Gajah bermula

PEMAIN Pahang FA, Matheus Alves Leandro bergambar dengan pelajar-pelajar ketika sesi bertemu pada Majlis Jejak Juara Tok Gajah bersama pemain-pemain pasukan Bola Sepak Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini, terpilih sebagai lokasi persinggahan pertama program 'Jejak Juara Tok Gajah' anjuran Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP), hari ini.

Pengerusi Penyelaras program, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar, berkata pemilihan sekolah itu dibuat selepas mengambil kira pencapaian semasa SMK Paya Besar dalam akademik dan kokurikulum.

"Sekolah ini dipilih hasil perkenan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan ia adalah pilihan tepat berdasarkan prestasi sekolah ini dalam kokurikulum dan juga pencapaian akademik pelajarnya.

"Ia juga sebagai tanda terima kasih PBNP terhadap sokongan golongan muda seperti pelajar yang sentiasa bersama pasukan Pahang memberi semangat kepada pemain dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur.

"Kita harap program ini dapat memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang sukan, terutamanya bola sepak dan pelajaran," katanya ketika ditemui media selepas program itu.

Yang turut hadir Pengetua SMK Paya Besar, Datin Ezizah Hashim, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan Pengurus Pasukan Pahang, Datuk Che Nasir Salleh.

Kira-kira 500 pelajar sekolah berkenaan tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemain Pahang dalam program itu.

Sementara itu, Che Nasir berkata, program berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memberi peluang kepada lebih ramai peminat pasukan Pahang mendekati pemain yang mereka minati.

"Ini adalah permulaan dan kita akan teruskan program sama selepas ini, namun ia bergantung kepada perkenan Presiden PBNP (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah).

"Kita kena tengok kesesuaian masa juga kerana kami terikat dengan jadual latihan dan perlawanan yang agak padat musim ini," katanya.

Berita Harian X