Selasa, 11 April 2017 | 2:02pm

Kampus universiti guna basikal elektrik

MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memperuntukkan RM4 juta bagi menggalakkan penggunaan basikal elektrik di kampus universiti menerusi Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia (SER1M) tahun ini.

Program menerusi Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) itu memilih enam kampus dengan setiap universiti menerima 200 unit Basikal Dibantu Pedal Elektrik (EPAB) bagi kegunaan pelajar.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah penerima pertama menerusi program itu untuk digunakan di kampus induknya, di sini dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Katanya, lima lagi universiti yang akan menerima kenderaan bebas karbon itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Basikal yang digunakan untuk program ini mematuhi standard EPAB iaitu MS2514 yang dibangunkan SIRIM Berhad, khusus untuk basikal elektrik dengan kelajuan maksimum 25 kilometer sejam dan ia tidak memerlukan lesen memandu serta cukai jalan.

"Basikal yang digunakan dalam program ini dikeluarkan syarikat tempatan dan ia mampu mendaki bukit kecerunan 30 darjah dengan mudah, sesuai keadaan muka bumi kebanyakan kampus universiti yang berbukit," katanya pada pelancaran Program SER1M di UMS, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datin Badriyah Abdul Malek dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali.

Maximus berkata, terpulang kepada pihak universiti melaksanakan kaedah penggunaan basikal terbabit di kampus masing-masing, sama ada dijual, disewa beli atau dipajak kepada pelajar dan pensyarah.

Katanya, MGTC akan memantau penggunaan basikal berkenaan dan melakukan audit, selain memberi bantuan teknikal, latihan penggunaan, operasi dan penyelenggaraan kepada pihak universiti.

Beliau berkata program itu antara pendekatan kementeriannya dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada 45 peratus pada tahun 2030 menerusi Pelan Induk Pembangunan Mobiliti Elektrik Negara (EMB) dengan memperkenalkan kenderaan elektrik.

"Menerusi EMB, kita mahu menjadikan Malaysia hab pasaran kenderaan elektrik dengan sasaran 100,000 kereta elektrik, 125,000 stesen pengecas, 2,000 bas elektrik dan 100,000 motosikal elektrik menjelang tahun 2030," katanya.

Katanya, bagi penggunaan basikal EPAB, setiap kampus universiti disasar dapat mengurangkan pelepasan gas karbon rumah hijau sebanyak 12,500 tan setahun.

INFO

Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia (SER1M)

* 1,200 basikal elektrik diagihkan di 6 universiti

* RM3,000 harga sebuah basikal

Berita Harian X