Selasa, 11 April 2017 | 4:36pm

Bom lama ditemui di tapak projek UniMAP


BOM mortar yang dibaluti tanah dipercayai seberat lebih 200 kilogram ditemui di kawasan projek tangki air di Universiti Malaysia Perlis, di sini, pagi tadi. - Foto Ihsan UniMAP

ARAU: Sebutir bom jenis mortar dipercayai peninggalan zaman penjajah ditemui berhampiran kawasan tapak projek pembinaan tangki air di Zon Pusat Sukan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, tengah hari tadi.

Bom dianggar seberat lebih 200 kilogram (kg) itu ditemui seorang pekerja binaan, sebelum dimaklumkan kepada pihak Jabatan Pembangunan dan Kontraktor UniMAP.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, mengesahkan penemuan bom lama itu selepas satu laporan dibuat pihak UniMAP di Balai Polis Arau, di sini, jam 12.30 tengah hari.

"Susulan laporan itu, kita mengambil tindakan segera dengan melakukan penutupan sementara kawasan berkenaan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Kita sudah hubungi Unit Pemusnah Bom (UPB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan pihak berkenaan akan melakukan pemusnahan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Nanda berharap orang ramai tidak panik kerana bom yang dianggar berusia lebih 40 tahun itu berada jauh dari lokasi kampus dan kawasan yang sedang dijalankan kerja membina tangki air itu juga sudah ditutup.

81 dibaca
Berita Harian X