Selasa, 11 April 2017 | 6:35pm

Kerjasama SPNB, UiTM bina rumah mampu milik


DATUK Dr. Hassan Said (dua kiri) bertukar dokumen bersama Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (dua kanan) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali (kanan) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Prof. Dr Azmi Ibrahim (kiri) pada majlis MoU antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan SSPNB di Banggunan Canselori UiTM Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menggunakan kepakaran serta kemahiran warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam pembinaan rumah mampu milik.

Pengerusi Kumpulan SPNB, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kolaborasi awal antara SPNB dan UiTM itu akan menekankan aspek pembangunan produk yang dikeluarkan SPNB.

Katanya, rangka kerja kolaborasi antara kedua-dua pihak itu turut membabitkan aspek perkongsian penyelidikan dan perancangan serta memberi ruang pembelajaran kepada pelajar UiTM di peringkat reka bentuk atau kaedah pembinaan.

"UiTM adalah universiti awam pertama yang bekerjasama dengan SPNB dalam menghasilkan rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.

"Dengan adanya kerjasama ini, kita mengharapkan akan ada pengurangan kos dan menjimatkan semua pihak," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPNB dan UiTM di sini, hari ini.

UiTM diwakili Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Kerjasama itu membabitkan tempoh tiga tahun.

Abd Latiff berkata, MoU antara dua pihak itu juga akan menggalak serta membangunkan lagi bidang akademik, kebudayaan, penyelidikan dan pertukaran antara kedua-dua pihak.

"Pembinaan rumah kos rendah adalah inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat mampu memiliki rumah sendiri. Sehubungan itu, UiTM berperanan sebagai rakan strategik dalam merealisasikan agenda nasional ini," katanya.

Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »