Selasa, 11 April 2017 | 6:59pm

Polis siasat kes kehilangan Peter Chong


AKTIVIS Peter Chong yang dilaporkan hilang sejak 6 April lalu.

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti kehilangan aktivis Peter Chong, sama ada mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya, selepas dia kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon di sini, 6 April lalu.

Ini kerana, tumpuan utama Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada masa ini adalah melihat sama ada mangsa benar-benar hilang atau menghilangkan diri atas sebab yang tidak diketahui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pada masa ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada wujud elemen jenayah dalam kes berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, mangsa tidak menerima sebarang unsur ugutan jenayah sebelum dia dilaporkan hilang, selain tiada sebarang ancaman terhadapnya.

"Bagaimanapun, siasatan dan tumpuan kita dalam menjalankan siasatan kehilangannya dilakukan dari pelbagai sudut berdasarkan maklumat yang ada," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk menyatakan bahawa Peter dilarikan pihak tertentu namun tidak menolak kemungkinan dia menyembunyikan diri. 

"Kita tidak dapat mendedahkan perincian yang ada kerana khuatir boleh mengganggu siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan membabitkan Kontinjen Kuala Lumpur dan Polis Daerah Dang Wangi," katanya.

Rusdi berkata, pihaknya yakin kehilangan Peter ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes kehilangan Pastor Raymond Koh, yang dilarikan sekumpulan lelaki di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu.

Berita Harian X