Selasa, 11 April 2017 | 7:25pm

Triterra rakan strategik terbaru KL Metropolis

GAMBAR fail, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin (dari kanan), Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama Naza Group of Companies, Datuk SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI Group, SM Faliq Tan Sri SM Nasimuddin bergambar dengan model replika KL Metroplis selepas taklimat di Metropolis Induk KL dan Kemajuan pada Oktober tahun lalu. - Foto NSTP/Rosela Ismail
GAMBAR fail, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin (dari kanan), Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama Naza Group of Companies, Datuk SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI Group, SM Faliq Tan Sri SM Nasimuddin bergambar dengan model replika KL Metroplis selepas taklimat di Metropolis Induk KL dan Kemajuan pada Oktober tahun lalu. - Foto NSTP/Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Pembangunan ikonik KL Metropolis oleh Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), terus menerima sokongan daripada pemaju hartanah tempatan menerusi kerjasama rakan strategik terbarunya dengan Triterra Metropolis Sdn Bhd (Triterra).

Menerusi kerjasama itu, Triterra bakal membangunkan menara korporat dikenali 'The MET Corporate Towers' yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM650 juta. 

Pengerusi Bersama Triterra, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy, berkata pembangunan menara berkenaan merangkumi dua blok terdiri daripada unit runcit dan komersial yang dijangka siap pada tahun 2021. 

Katanya, perkongsian berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada Triterra mengukuhkan kehadiran dalam sektor pembangunan hartanah tempatan, tetapi juga menjadi kerjasama strategik kedua-dua pihak. 

"Pada masa sama, ia juga akan menjadi pemangkin kepada transformasi pelan induk KL Metropolis," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Triterra Metropolis, Christopher Lim Hwa Seong serta Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin. 

Terdahulu, Kong Choy dan Faliq turut merasmikan perlawanan bola sepak persahabatan antara Triterra dan Naza TTDI yang diadakan sempena kerjasama itu.

Sementara itu, Faliq berkata, pihaknya mengalu-alukan Triterra sebagai antara rakan kongsi strategik untuk merealisasikan wawasan pembangunan pelan induk KL Metropolis. 

"Projek pembinaan menara itu diharap menjadi 'pintu masuk' untuk menarik lebih banyak perniagaan tempatan dan antarabangsa menyertai pembangunan di KL Metropolis," katanya. 

Mengulas lanjut mengenai KL Metropolis, Faliq berkata, pihaknya kini memfokuskan pembangunan hotel di lokasi berkenaan. 

"Kami menyasarkan untuk membina tiga hingga empat hotel bertaraf empat bintang dan satu hotel bertaraf lima bintang di kawasan berkenaan," katanya.

Info

* Pembangunan KL Metropolis membabitkan kawasan seluas 30.2 hektar

* Ia adalah pembangunan bercampur yang dikhususkan sebagai `Daerah Perdagangan Antarabangsa dan Pameran' untuk Kuala Lumpur

Berita Harian X