Selasa, 11 April 2017 | 10:03pm

Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah RM1.8 juta


Dadah yang ditemui pada dua beradik yang ditahan malam tadi kerana dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar daerah Tampin.

SUNGKAI: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah, sebahagian besarnya pil kuda dianggarkan seberat 20.3 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.8 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Gunung Besout 2 di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan pada jam 2 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Ketika serbuan, suspek pertama seorang penyelia ladang berusia 35 yang mengaku tuan rumah dan suspek kedua, seorang peniaga berusia 36 tahun berada di dalam rumah berkenaan.

Pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu menemukan sebuah beg sandang di atas lantai sebelum pemeriksaan dalam ruang berzip beg itu menemui tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 8.70gram dan satu paket plastik lutsinar berisi 22 pil tertulis 'WY' disyaki dadah.

Pemeriksaan di sebuah lagi bilik menemui satu kotak berwarna putih yang diletakkan di atas lantai dan pemeriksaan mendapati ia mengandungi 90 bungkusan berwarna kuning dengan setiap bungkusan berkenaan mengandungi 10 paket plastik berwarna biru berisi pil, juga tertulis 'WY' disyaki dadah.

Jumlah berat keseluruhan 90 bungkusan berwarna kuning mengandungi 180,000 biji pil berkenaan dianggarkan seberat 20.3kg.

Difahamkan, suspek yang turut positif dadah hasil ujian air kencing disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca bekalan dan rangkaiannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan dijangka akan mengadakan sidang media mengenai kes itu dalam masa terdekat.

Berita Harian X