Selasa, 11 April 2017 | 10:44pm

Bicara kes Ahok ditangguh sehingga pilihan raya gabenor

Basuki Tjahaja Purnama (tengah), juga dikenali sebagai Ahok, berjalan dalam mahkamah bagi perbicaraannya di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
Basuki Tjahaja Purnama (tengah), juga dikenali sebagai Ahok, berjalan dalam mahkamah bagi perbicaraannya di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

JAKARTA: Sebuah mahkamah Indonesia hari ini menangguhkan perbicaraan kes menghina agama seorang gabenor Kristian sehingga selepas pilihan raya bandar raya itu, pada 19 April.

Perbicaraan Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama, pemimpin etnik Cina beragama Kristian ibu kota ini dan sekutu Presiden Joko 'Jokowi' Widodo, meningkatkan persoalan berhubung peranan agama dalam politik di negara majoriti penduduk Islam itu.

Ahok dibenarkan berkempen dalam pilihan raya walaupun dibicara dan pendakwa raya dijangka memanggilnya hari ini untuk dipenjarakan atas tuduhan menghina Islam.

Sebaliknya, hakim bersetuju terhadap permohonan pendakwa raya menangguhkan perbicaraan sehingga 20 April, sehari selepas pilihan raya gabenor ibu kota ini.

Polis juga menulis kepada pendakwa raya meminta penangguhan berhubung kebimbangan keselamatan.

"Kami berpendapat surat daripada polis boleh dipertimbangkan berikutan isu keselamatan," kata pendakwa raya Ali Mukartono kepada mahkamah, merujuk kepada tarikh perbicaraan berikutnya.

Katanya, alasan utama pendakwa raya meminta penangguhan adalah lebih masa untuk perbicaraan.

Polis di ibu kota ini minggu lalu meminta perbicaraan itu ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya berikutan kebimbangan ketegangan agama dan etnik di bandar lebih 10 juta penduduk itu.

Ahok dibicara akhir tahun lalu selepas kumpulan Islam menolak ulasan dibuatnya berhubung penggunaan ayat al-Quran dalam kempen.

Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X