Rabu, 12 April 2017 | 7:51am

300 alumni dijangka hadir malam ilmu khas


PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany adalah antara 300 alumni Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) yang mengesahkan kehadiran pada majlis Malam Jejak Alumni Ilmu Khas di Kampus IPGKIK, di sini pada 28 April ini.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohd Ali, berkata pertemuan yang julung kali diadakan untuk semua bekas pelajar, staf dan pensyarah sejak institusi itu dibuka pada 1959 dapat menyatukan semula alumni yang dengan sendirinya mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim.

"Melalui pertemuan ini juga akan diadakan pelancaran Alumni Ilmu Khas secara rasmi. Penjenamaan semula alumni ini seiring keperluan dan sijil pendaftaran alumni yang diterima secara rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Mac lalu.

"IPGKIK yang sebelum ini dikenali dengan nama `Specialist Teachers Training Institute' (STTI), Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), dan Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) melahirkan graduan peringkat sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Norani Abd Rahim, berkata antara Alumni Ilmu Khas yang mencipta nama

adalah Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail; Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman; Pengarah Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh; dan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.

"Alumni Ilmu Khas ada di seluruh pelosok negara yang bukan saja meneruskan kelangsungan dalam bidang pendidikan, malah ada yang terbabit dalam politik, keusahawanan, kesenian, kejurulatihan sukan antarabangsa dan pengurusan mencakupi pelbagai sektor," katanya.

Selain kursus praperkhidmatan dan kursus dalam perkhidmatan, IPGKIK terus berkembang pesat menerusi penawaran program berkembar dengan negara luar seperti Maldives, New Zealand, United Kingdom dan Australia.

37 dibaca
Berita Harian X