Rabu, 12 April 2017 | 10:48am

Hanya kes Pastor Koh dianggap culik


POLIS mengklasifikasikan kes kehilangan Pastor Raymond Koh sebagai kes jenayah.

KUALA LUMPUR: Polis hanya mengklasifikasikan kes kehilangan Pastor Raymond Koh, sebagai kes jenayah selepas dia dilarikan sekumpulan lelaki di Petaling Jaya, pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun kes kehilangan tiga lagi individu membabitkan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth serta Amri Che Mat diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH), manakala bagi kes aktivis Peter Chong, dikategorikan sebagai menghilangkan diri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata mana-mana pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi dengan mengaitkan kehilangan lima individu terbabit sebagai satu konspirasi.

"Saya melihat viral dalam media sosial kononnya mereka diculik, saya beri amaran kepada sesiapa yang cuba mengelirukan kes berkenaan supaya menghentikannya.

"Berdasarkan bukti yang ada hanya Pastor Raymond yang diculik dan status tiga yang lain sebagai hilang, jangan hendak memandai-mandai kata mereka juga diculik," katanya di sini, pagi tadi.

Beliau turut menyelar tindakan pihak tertentu termasuk Majlis Peguam yang kononnya begitu prihatin dan mengambil berat kes kehilangan semua lima individu terbabit sehingga wujudnya spekulasi tidak benar.

"Dalam hal ini adakah kami (PDRM) tidak mengambil berat dan prihatin dengan kejadian yang berlaku, ...kami juga sangat prihatin dan bertanggungjawab dalam usaha mengesan semua mereka yang hilang ini," katanya.

Berita Harian X