Rabu, 12 April 2017 | 11:33am

Penjual karpet mengaku salah tawar rasuah

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi Jaibim Daggar (depan) setelah dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan memberi suapan wang tunai sebanyak Rm100kepada anggota polis kerana memandu tanpa lesen di tepi Jalan Kulim-Mahang pada 03 April lalu. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Seorang lelaki berketurunan Pakistan yang juga penjual karpet didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan cuba merasuah anggota polis di Kulim, dekat sini, minggu lalu.

 

Tertuduh, Jaibim Daggar, 53, dari Kampung Sungai Seluang, dekat Lunas di Kulim, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Jaibim didakwa melakukan kesalahan dengan cuba memberi rasuah RM100 kepada Lans Koperal Mohd Wira Romli supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahannya yang memandu kereta Perodua Kancil bernombor pendaftaran KBN5034 tanpa lesen dan tidak memakai tali pinggang keledar.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 10.46 pagi pada 3 April lalu di tepi Jalan Kulim-Mahang, berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil BMR di Kulim dekat sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, A Hafiizh Abu Bakar, mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang tidak diwakili peguam oleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama membabitkan penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 17 April ini untuk menjatuhkan hukuman dengan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

 

Berita Harian X