Rabu, 12 April 2017 | 12:45pm

Anak Hadi dicalon Ketua Dewan Pemuda PAS

TIMBALAN Ketua Dewan PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Tiga, termasuk anak Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil dicalonkan bagi mengisi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS bagi penggal 2017-2019 pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan pergerakan itu, akhir bulan ini.

Selain Muhammad Khalil yang juga penyandang jawatan Timbalan Ketua, Lembaga Pemilihan PAS Pusat turut menerima dua lagi pencalonan bagi mengisi jawatan dikosongkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak mempertahankan jawatan kerana faktor usia.

Mereka ialah penyandang bagi jawatan Naib Ketua, Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari.

Muhammad Khalil, Khairil Nizam dan Ahmad Fadhli serta dua yang lain iaitu Setiausaha, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK), Hishamudin Abdul Karim turut menerima pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua.

Selain Khairil Nizam, tiga lagi turut dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden. Mereka ialah Ahmad Fadhli, Afnan Hamimi dan Hishamuddin.

Menurut senarai pencalonan yang disemak dan disahkan oleh Setiausaha Lembaga Pemilihan PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud bertarikh semalam, jawatan Pengerusi Tetap dan timbalannya turut dipertandingkan apabila masing-masing menerima dua pencalonan.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap, penyandang Kamal Ashaari bakal dicabar timbalannya, Dr Riduan Mohd Nor yang turut dicalonkan bagi mengekalkan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap jika berlaku pertandingan. Kamal turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Pencalonan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2017-2019 turut menyaksikan 24 orang dicalonkan bagi mengisi 12 kerusi AJK pergerakan itu.

Berita Harian X