Rabu, 12 April 2017 | 1:16pm

Sungai Segget capai Kelas IIB


PROJEK Sungai Segget, gambar fail. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kualiti air Sungai Segget dijangka mampu mencapai Kelas IIB dalam tempoh setahun ini, menerusi proses rawatan yang dijalankan di Kompleks Rawatan Kumbahan Bersepadu (CSTP) di Jalan Tun Razak di sini.

Ketua Projek Pejabat Pengurusan Program Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Mohd Zam Mustaman, berkata CSTP bernilai RM120 juta yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Sungai Segget itu kini beroperasi sepenuhnya selepas tempoh percubaan tiga bulan.

Katanya, kompleks rawatan kumbahan terbesar di Malaysia itu mempunyai kapasiti merawat sisa kumbahan kira-kira 150,000 penduduk di pusat bandar serta kawasan sekitarnya.

"Proses perawatan dan pembersihan sungai ini bakal merubah keadaan Sungai Segget yang selama ini tercemar pada Kelas IV.

"Orang ramai bakal menikmati keadaan sungai dengan air yang jernih dan selamat bagi aktiviti riadah iaitu Kelas IIB dalam masa enam bulan hingga setahun akan datang," katanya kepada sidang media selepas mengadakan lawatan ke CSTP di sini, hari ini.

Kompleks setinggi 45 meter yang bersamaan 11 tingkat itu mempunyai keupayaan memproses air dan kumbahan sebanyak 33,750 meter padu sehari atau 1,406 meter padu sejam.

Mohd Zam berkata, setakat ini kompleks berkenaan memproses kira-kira 10 peratus daripada keupayaan memproses kumbahan di loji berkenaan dan ia dijangka terus meningkat.

Katanya, kawasan tadahan Sungai Segget adalah sepanjang 3.6 kilometer yang terbahagi kepada tiga kawasan tadahan.

"Kawasan berkenaan ialah Pusat Bandar; Wadi Hana, Wadi Hassan, Bukit Ungku Aziz, Bukit Saujana dan Ulu Ayer Molek.

"Komplek berkenaan juga menggunapakai Sistem Kawalan dan Perolehan Data (SCADA) bagi memantau pemprosesan air sungai, air larian tercemar dan air kumbahan," katanya.

Sungai Segget satu daripada projek di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru iaitu program kerjasama di antara IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mencapai visi sebuah bandar mampan.

89 dibaca
Berita Harian X