Rabu, 12 April 2017 | 2:57pm

Lebih 200,000 pengguna masih bayar tunai - PLUS

PENGURUS Besar Operasi PLUS, Norbayati Manap (tengah) bersama Ketua Jabatan Lebuhraya Touch 'n Go Sdn Bhd, Azman Md Din (kiri) dan Penolong Pengarah Selatan 2, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Syed Mohd Fareed Syed Zin (kanan) menunjukkan poster pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendalian PLUS selepas sidang media di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengenal pasti lebih 200,000 pengguna lebuh raya itu masih menggunakan sistem pembayaran secara tunai.

Pengurus Besar Operasinya, Norbayati Manap, berkata golongan itu seharusnya lebih bersedia dengan pelaksanaan sepenuhnya sistem kutipan tol elektronik yang akan dilaksanakan bermula 26 April ini.

Katanya, PLUS membelanjakan lebih RM3 juta sejak 2008 bagi meningkatkan kesedaran serta mendidik pengguna untuk menggunakan sistem kutipan tol elektronik.

"Antara yang dilakukan PLUS termasuk pemasangan papan tanda, meningkatkan promosi selain menambah baik sistem tol dan penambahan lorong khas Touch 'n Go.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 9,200 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara yang ditempatkan di ATM, kedai 24 jam, pusat beli belah dan stesen minyak.

"PLUS juga akan menambah sembilan lagi kiosk layan diri termasuk di Plaza Tol Pagoh, Dengkil, Simpang Pulai, Sungai Perak dan Gunung Semanggol," katanya kepada sidang media selepas Taklimat Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik Sepenuhnya di lebuhraya PLUS di sini, hari ini.

Norbayati juga berkata, PLUS mengenal pasti hampir 80 peratus pengguna lebuh raya di Johor masih membayar secara tunai adalah di Plaza Tol Machap, Tangkak dan Pagoh.

"Bermula 26 April ini, tiada lagi bayaran tol secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya perlu membayar tol sama ada menerusi kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau SmartTAG," katanya.

Katanya, sebanyak 71 daripada keseluruhan 94 plaza tol di negara ini akan melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik menerusi fasa pertama, bermula dari Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, di sini.

Berita Harian X