Rabu, 12 April 2017 | 4:05pm

Kedah umum 25 April cuti gantian


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. - Foto Asyraf Hamzah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan 25 April ini sebagai hari kelepasan am gantian bagi seluruh Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata ia berikutan pertindihan cuti sambutan Israk dan Mikraj dengan hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang juga hari kelepasan am tambahan pada 24 April nanti.

"Kita sudah bincang dalam mesyuarat EXCO sebentar tadi dan memutuskan untuk beri cuti ganti pada 25 April," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Minggu lalu, kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengisytiharan hari kelepasan am tambahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember lalu menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang tamat tempoh pemerintahan baginda pada 12 Disember 2016.

59 dibaca
Berita Harian X