Rabu, 12 April 2017 | 6:20pm

Konsert Salman Khan di KL ditunda

KONSERT jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) ditunda ke satu tarikh baharu pada Julai depan.

KUALA LUMPUR: Konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) ditunda ke satu tarikh baharu pada Julai depan.

Berita penangguhan itu dimaklumkan penganjur, GHC Solutions Sdn Bhd, hari ini, malah pelakon Bollywood bertubuh sasa itu sendiri turut berkongsi berita penangguhan terbabit di laman sosial miliknya.

Begitupun, konsert sama di Hong Kong, Auckland, Sydney dan Melbourne tetap diteruskan seperti biasa.

"Hello Malaysia, penganjur sudah meminta saya mengatur semula jadual konsert Da Bang di Malaysia. Kami akan kongsi perkembangan terkini mengenai tarikh baharu tidak lama lagi," tulisnya.

Pihak penganjur turut mengeluarkan notis memaklumkan konsert berkenaan akan dijadualkan semula tarikhnya berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan. Mereka turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Konsert berkenaan berkemungkinan besar diadakan pada Julai depan dan pihak pengurusan akan memaklumkan mengenai tarikh sebenar penganjuran dengan segera, selepas persetujuan bersama artis berkenaan dicapai nanti.

Konsert jelajah berkenaan boleh dianggap sebagai kepulangan semula Salman ke pentas persembahan selepas hampir sedekad tidak berbuat demikian.

Sebarang urusan membabitkan pertanyaan mengenai tiket boleh dilakukan dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau [email protected].

Berita Harian X