Rabu, 12 April 2017 | 8:50pm
ANGGOTA Polis melakukan pemeriksaan disebuah premis dalam kejadian pecah masuk kedai emas di Seksyen 30 Shah Alam.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Penjenayah larikan CCTV elak dikenali

ACP Shafien Mamat (kiri) bersama Pegawai Penyiasat, ASP S V Kumar (kanan), pada sidang media dilokasi kejadian pecah masuk kedai emas di Seksyen 30 Shah Alam.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Sekumpulan penjenayah yang memecah sebuah kedai emas di Kota Kemuning, di sini pagi tadi, bertindak nekad menanggalkan dan melarikan kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Ia dipercayai dilakukan bagi mengelakkan identiti mereka dapat dikenal pasti pihak berkuasa.

Turut dilarikan dari kedai emas yang beroperasi di sebuah pasar raya itu adalah wang tunai dan barang kemas bernilai RM650,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata berdasarkan siasatan awal, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek dipercayai memanjat bumbung dan memecahkan siling untuk masuk ke dalam kedai emas terbabit.

Katanya, suspek kemudian menebuk lubang pada peti besi kedai emas itu dengan menggunakan gas oxy-acetylene.

"Kejadian disedari seorang pekerja berusia lingkungan 50-an yang membuka kedai itu, kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Apabila melihat keadaan peti besi yang berlubang dan masih berasap, perkara itu segera dimaklumkan kepada pemilik kedai emas yang kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati selain semua barang kemas, wang tunai kira-kira RM20,000 turut lesap," katanya.

Shafien berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan suspek sudah berada di dalam pasar raya berkenaan sebelum ia ditutup pada jam 11 malam semalam.

"Berdasarkan keterangan awal, alat penggera keselamatan premis dikatakan berbunyi kira-kira jam 3 pagi dan kejadian mungkin berlaku antara waktu berkenaan.

"Unit Forensik berjaya menemui kesan cap jari suspek dan kami percaya penjenayah berkenaan pakar dalam mengendalikan besi dan gas itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis," katanya.

Sementara itu, pemilik premis yang enggan dikenali berkata, ini kali keempat kedai emas miliknya dipecah masuk penjenayah sejak lapan tahun lalu.

"Ia termasuk dua kes rompakan bersenjata dan cubaan memecah masuk di premis sama sehingga mengalami kerugian berjumlah jutaan ringgit.

"Namun, saya memuji usaha polis yang berjaya menahan suspek dan berharap penjenayah akan turut diberkas bagi kes ini," katanya.

Berita Harian X