Rabu, 12 April 2017 | 9:30pm

Muktamar PAS: Iskandar, Nuridah pertahankan jawatan

NAIB Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh. - Foto Roslin Mat Tahir

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu di Muktamar PAS Pusat Kali Ke-63 di Kedah, akhir bulan ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap EXCO Kanan Kerajaan Selangor ketika dihubungi BH hari ini mengesahkan menerima pencalonan itu sebagai menghormati kawasan yang mencalonkan beliau.

"Tambahan pula pertandingan pada muktamar kali ini adalah seperti perlawanan persahabatan, tiada tekanan untuk menang dan terpulang kepada perwakilan untuk memilih," katanya.

Iskandar yang baru sepenggal memegang jawatan itu menang pada pemilihan 2015 bersama Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Ketiga-tiga mereka berjaya mengetepikan dua penyandang bagi jawatan itu iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub, selain seorang lagi calon, Datuk Mahfuz Omar.

Pada pemilihan kali ini, jawatan Naib Presiden ditandingi lima calon. Selain tiga penyandang dicalonkan semula, turut mendapat pencalonan bagi merebut jawatan itu ialah Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh ketika dihubungi turut mengesahkan menerima pencalonan untuk mempertahankan jawatan yang dimenangi pada 2015.

Beliau bakal dicabar sekali lagi oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof yang turut menerima pencalonan bagi jawatan itu.

Nuridah pernah tewas kepada Siti Zailah pada pemilihan 2011 selepas mengekalkan jawatan Ketua selama dua penggal iaitu bagi sesi 2007-2009 dan 2009-2011.

Selepas mengemudi sayap parti itu selama dua penggal, Siti Zailah terpaksa akur dengan kehendak perwakilan apabila tewas kepada Nuridah pada pemilihan 2015.

Berita Harian X