Rabu, 12 April 2017 | 11:13pm

Kelantan tumbang di Kota Bharu

PENYERANG Kelantan, Mohamad Ghaddar merembat bola ke arah gawang gol pasukan JDT dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Foto NSTP/Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Skuad Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kempunan meraih tiga mata berharga selepas tewas tipis 3-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan 13,000 penyokong sendiri, skuad kendalian Zahasmi Ismail bermula dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya menerusi jentera serangan yang diketuai Mohammed Ghaddar.

Hasilnya, seawal minit ke-5, Ghaddar menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran lintang daripada Mohd Farisham Ismail sebelum menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

Minit ke-16, pemain kelahiran Lubnan itu membuat larian solo melepasi empat pertahanan pelawat dan meledak sepakan deras menewaskan Farizal buat kali kedua.

JDT yang jarang melakukan asakan ke kubu tuan rumah akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-19 sebelum sepakan penalti Gabriel Guerra pada minit ke-29 mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Kesilapan pertahanan Kelantan sekali lagi dihukum JDT, kali ini menerusi Gonzalo Gabriel Cabrera yang meledak gol ketiga sekali gus membolehkan JDT mendahului 3-2 sehingga tamat babak pertama.

Skuad Kelantan yang ketinggalan 3-2 berusaha mencari gol penyamaan namun hasrat untuk bangkit lebur apabila Mohammad Qayyum menerima layangan kad merah dan diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan Md Nazmi Nasaruddin kerana menarik baju Guerra pada minit ke-75.

Berita Harian X