Khamis, 13 April 2017 | 1:37am

Nafi terima rasuah Olimpik Rio

GAMBAR fail bekas Datuk Bandar ini, Eduardo Paes bercakap pada Sidang Kemuncak C40 Mayors di sebuah hotel di Bandar Raya Mexico, Mexico pada 1 Disember 2016. - Foto REUTERS
GAMBAR fail bekas Datuk Bandar ini, Eduardo Paes bercakap pada Sidang Kemuncak C40 Mayors di sebuah hotel di Bandar Raya Mexico, Mexico pada 1 Disember 2016. - Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO: Bekas Datuk Bandar ini, Eduardo Paes menafikan tuduhan mengambil rasuah bernilai jutaan dolar daripada syarikat gergasi pembinaan Odebrecht sebelum Sukan Olimpik tahun lalu.

Paes meneliti persediaan penganjuran Olimpik pertama negara Amerika Selatan itu dan meletak jawatan pada penghujung penggal pentadbiran tidak lama selepas itu.

Mahkamah Agung Brazil mendedahkan lewat semalam, Paes adalah antara 100 ahli politik yang berdepan siasatan terhadap dakwaan pembabitan dalam penyelewengan dan rasuah di mana Odebrecht adalah pemain utama.

Dalam satu kenyataan, Paes membalas bahawa beliau 'menafikan sekeras-kerasnya pernah menerima rasuah demi kepentingan Odebrecht.'

Tuduhan ke atas Paes dan ahli politik lain susulan gelombang siasatan baharu daripada keterangan diberi dalam perjanjian pengakuan oleh 77 bekas eksekutif Odebrecht.

Menurut dakwaan itu, Paes mengambil 'sekurang-kurangnya 15 juta reais' (RM21.06 juta) daripada Odebrecht dalam kempen pemilihan semula 2012, ketika Rio sedang sibuk membina stadium dan infrastruktur besar lain untuk Olimpik.

Menurut dokumen Mahkamah Agung dipetik pelbagai sumber dalam media Brazil, dakwaan rasuah diberi 'bagi membantu kontrak berkaitan Sukan Olimpik.' - AFP

Berita Harian X