Khamis, 13 April 2017 | 9:38am

Sekolah pertama perkenal mesin perakam waktu murid


MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak mengetip kad perakam waktu kehadiran pada hari pertama penggunaan mesin itu. - Foto Ghazali Kori

KUALA NERUS: Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak menjadi sekolah pertama memperkenalkan mesin perakam waktu di Terengganu bagi memupuk disiplin dan mengatasi masalah ponteng dalam kalangan murid.

Inisiatif itu dicetuskan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi mendidik semua 821 muridnya menepati waktu selain meningkatkan disiplin mereka.

Sebanyak enam mesin perakam waktu yang disumbangkan PIBG sekolah berkenaan akan ditempatkan mengikut tahap kelas.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, ketika merasmikan penggunaan mesin berkenaan di sini, berkata pihaknya menyokong penuh inisiatif sekolah dan PIBG untuk mengaplikasikan mesin berkenaan.

"JPNT sentiasa menyokong inisiatif sekolah untuk meningkatkan kualiti dan disiplin murid masing-masing namun mereka perlu mendapatkan persetujuan pihak PIBG jika mahu mengaplikasikannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Turut hadir Guru Besar, Zam Zam Mohamad @ Jusoh dan Pengerusi PIBG, Mohd. Zamzaini Zolkeffli.

Berita Harian X