Khamis, 13 April 2017 | 6:32pm

SC benarkan jualan singkat terkawal bon korporat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melaksanakan garis panduan baharu untuk membenarkan jualan singkat terkawal bon korporat di pasaran modal Malaysia.

SC dalam satu kenyataan, ia berkata dengan 'Garis Panduan Mengenai Jualan Singkat Terkawal Bon Korporat' yang baharu, peniaga utama kini dibenarkan untuk mengendalikan jualan singkat terkawal bagi bon korporat termasuk mengembangkan rangkaian bon yang boleh dijual singkat.

Katanya, garis panduan itu bertujuan untuk memberikan kepastian mengenai pihak yang dibenarkan untuk menjalankan jualan singkat bagi bon korporat serta keperluan terbabit.

Menyedari kepentingan bagi memastikan kestabilan pasaran, syarat ke atas cara pelaksanaan jualan singkat terkawal bon korporat juga ditetapkan.

SC berkata inisiatif terbaru ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ke arah meningkatkan kecairan dalam pasaran bon sekunder di samping memastikan infrastruktur dan rangka kerja kawal selia yang komprehensif dan memudah cara.

Ini adalah selaras dengan komitmen berterusan SC untuk mengekalkan pembangunan dan pertumbuhan pasaran bon di Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Garis panduan tersebut boleh dilihat pada laman www.sc.com.my. - BERNAMA

Berita Harian X