Khamis, 13 April 2017 | 7:07pm

Pelantikan Hishammuddin: Pembangkang berniat jahat


DATUK Seri Mahdzir Khalid berucap ketika hadir dalam program Wacana Intelektual bersama Warga Pendidikan Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM), Georgetown. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Pembangkang didakwa berniat jahat apabila menyifatkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, kononnya dibuat bagi memberi laluan kepada Menteri Pertahanan itu mengukuhkan jawatannya dalam UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pelantikan Hishammuddin itu sebaliknya lakukan untuk mengendalikan pelbagai isu berbangkit, selain dilakukan tepat pada masanya.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan pembangkang berhubung pelantikan Hishammuddin itu jelas tidak tepat, selain dilihat sebagai usaha berterusan untuk memburukkan kerajaan.

"Ia (pelantikan Hishammuddin) sememangnya berlaku dalam kerajaan dan ada keperluan untuk kita berbuat demikian bagi mengatasi beberapa perkara atau isu berbangkit.

"Pembangkang memang hanya tuju kepada rumusan negatif tanpa mempertimbang apa keperluan untuk mewujudkan kembali jawatan berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis Wacana Intelektual bersama Warga Pendidikan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahudin Ayub, yang mendakwa pelantikan Hishammuddin kononnya sebagai tanda Perdana Menteri akan berundur, sekali gus memberi laluan kepada Menteri Pertahanan itu mengambil alih tugas Perdana Menteri.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, meliputi peranan dalam pelbagai bidang selain daripada tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertahanan.

Berita Harian X