Jumaat, 14 April 2017 | 7:04am

Sprinta tambah jangka hayat enjin

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) bersama D'Arrigo (kiri); Ketua Pegawai Komersial Kumpulan PLI, Giuseppe Pedretti (dua kanan) serta Ketua Serantau bagi Asia Pasifik PLI, Khalid Latiff (kanan) ketika melancarkan minyak pelincir PETRONAS Sprinta di Mumbai, India, baru-baru ini.
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) bersama D'Arrigo (kiri); Ketua Pegawai Komersial Kumpulan PLI, Giuseppe Pedretti (dua kanan) serta Ketua Serantau bagi Asia Pasifik PLI, Khalid Latiff (kanan) ketika melancarkan minyak pelincir PETRONAS Sprinta di Mumbai, India, baru-baru ini.

CABANG pembuatan dan pemasaran minyak pelincir global PETRONAS, Petronas Lubricants International Sdn Bhd (PLI) baru-baru ini melancarkan PETRONAS Sprinta dengan Ultraflex, minyak pelincir yang diformulasi khusus untuk menahan tekanan dan memanjangkan jangka hayat enjin motosikal.

Rangkaian baharu minyak pelincir itu bagi memenuhi keperluan penunggang motosikal yang mahukan tunggangan yang lebih lancar dan berkualiti serta tiada sebarang masalah.

Minyak pelincir itu akan ditawarkan di peringkat global secara berperingkat mulai suku kedua 2017 di Malaysia dan Vietnam, suku keempat 2017 di Thailand serta tahun depan di Indonesia.

Bagi pasaran Malaysia, PLI menawarkan empat varian minyak pelincir 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' iaitu F300 (mineral) untuk pasaran besar-besaran, F500 (semi-sintetik), F700 (semi-sintetik) selain minyak utamanya, F900 (sintetik penuh).

Berdasarkan penyelidikan, 'Petronas Sprinta dengan Ultraflex' adalah 41 peratus lebih baik memandangkan ia memberikan geseran lebih tinggi untuk mengelak penipisan minyak, di samping menghalang kelikatan minyak apabila terdedah kepada suhu yang tinggi selain mengurangkan pengumpulan deposit sebanyak 55 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D'Arrigo, berkata pelancaran PETRONAS Sprinta dengan Ultraflex adalah satu lagi pencapaian cemerlang PLI yang menyasar menjadi antara lima penggiat utama dunia dalam segmen minyak pelincir menjelang 2019.

"Kami memiliki asas yang tepat untuk mencapai sasaran ini, melalui pemilikan dan pengoperasian 10 kemudahan pencampuran di seluruh dunia, dengan kapasiti pengeluaran gabungan melebihi 600,000 tan setahun," katanya kepada pemberita selepas pelancaran minyak pelincir itu di Mumbai.

Kemudahan pencampuran PLI terletak di Contagem (Brazil), Buenos Aires (Argentina), Turin dan Naples (Itali), Barcelona (Sepanyol), Hemiksem (Belgium), Shandong (China), Melaka (Malaysia) dan dua lagi di Durban (Afrika Selatan).

D'Arrigo berkata, teknologi menjadi faktor kejayaan syarikat dan teras PLI sejak ditubuhkan pada 2008.

PLI katanya, mewariskan legasi pengalaman luas teknologi minyak pelincir untuk beberapa peneraju kejuruteraan terkemuka dunia.

"Dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran kejuruteraan itu, kami boleh menumpu kepada usaha memperhalusi kelebihan teknologi kami dan hari ini kami mempunyai pusat penyelidikan dan teknologi di seluruh dunia," katanya.

INFO

  • PLI berada di kedudukan ke-15 dunia bagi minyak pelincir dua tahun lalu dan kini sebagai penggiat ke-10 terbesar segmen berkenaan.
  • Mengikut data terkini, pasaran minyak pelincir dunia diunjur bernilai kira-kira AS$166 bilion (RM733.7 bilion) menjelang 2021, dipacu peningkatan jualan kenderaan komersial, selain perindustrian yang cepat maju di negara-negara pesat membangun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X