Isnin, 5 Januari 2015 | 7:19am

'Tapis dulu berita disebar dalam media sosial'

BANJIR yang melanda baru-baru ini bukan hanya beri kesan kehilangan nyawa, harta benda dan tempat tinggal, malah lebih daripada itu. Paling ketara, media massa dan telekomunikasi sangat terkehadapan dalam penggunaannya untuk tujuan menyelamatkan mangsa dan menghantar bantuan banjir.

Tidak terkecuali media sosial dan internet turut disalahgunakan dan dijadikan medan menyebarkan fitnah yang menimbulkan rasa panik masyarakat. Wartawan BH mewawancara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai fitnah siber berhubung banjir baru-baru ini. Ikuti wawancara berkenaan.


DUA lelaki terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumahnya kerana air naik mendadak di Bandar Lama Gua Musang, minggu lalu. - Foto Ramli Ibrahim

Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat fitnah siber mengenai banjir ini termasuk fitnah dan berita palsu mengenai pemimpin negara?

Jawapan: Kita kena terima hakikat bahawa sebelum adanya media sosial, orang membuat fitnah dan sebarkan berita palsu dan khabar angin sudah ada. Sebelum ini, orang sebarkan khabar angin dan buat fitnah melalui surat layang dan cerita di kedai kopi. Cuma apabila ada media sosial, fitnah, berita palsu dan khabar angin ini diperluaskan lagi dan disebarkan dengan lebih cepat. Ia sama saja, kita tidak boleh terima bulat-bulat apa yang tersiar dan disebarkan dalam media sosial. Kita kena ajar masyarakat supaya jangan percaya terus maklumat diterima, sebaliknya kena buat tapisan dan buat pengesahan dan rujukan. Masyarakat sendiri kena tanya betul atau tidak berita diterima dan perlu buat pengesahan dan rujukan. Ada banyak rujukan boleh dibuat sama ada dengan pihak keselamatan dan berwajib seperti polis. Kalau berita, boleh rujuk kepada agensi berita seperti BERNAMA, begitu juga kalau benar ada kapal terbang terhempas, kita rujukan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Masyarakat perlu dididik dengan perkara ini dan ia sangat penting.

S: Bagaimana pula dengan agensi yang bertanggungjawab memantau kandungan dan maklumat dalam media sosial dan internet ini seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multi-Media (SKMM), bagaimana mereka dapat berfungsi mengatasi fitnah siber ini?

J: Kita juga perlu memperkasakan dan meningkatkan keupayaan lagi agensi seperti SKMM dan polis dalam menangani isu ini. Misalnya, apakah undang-undang yang ada hanya boleh dikenakan kepada orang yang membuat fitnah dan cerita atau undang-undang yang boleh mengenakan tindakan kepada penyebar fitnah atau yang klik butang 'share'.

Saya melihat mungkin ada keperluan menetapkan undang-undang bahawa orang yang 'share' atau 'retweet' maklumat media sosial juga boleh didakwa, ini akan menggerunkan atau mungkin dapat menyekat pengguna media sosial sembrono berkongsi maklumat, cerita atau fitnah di alam siber. Ini boleh dilakukan jika ada pengguna gunakan nama samaran yang mana jika ada undang-undang yang menetapkan orang yang berkongsi fitnah atau menyebarkan fitnah dipertanggungjawabkan dan boleh didakwa, maka saya fikir mungkin ramai yang tidak berani sebarkan fitnah ini. Pada masa ini, saya tidak pasti sama ada mereka yang kongsi fitnah atau berita dalam media sosial boleh didakwa. Perkara ini perlu diperhalusi dari segi undang-undang.

S: Sejauh mana Datuk Seri berpuas hati dengan tindakan SKMM dan polis dalam menangani fitnah siber membabitkan banjir ini?

J: Setakat ini saya berpuas hati dengan SKMM dan polis yang mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada mengikut kemampuan mereka. Namun, saya tidak berpuas hati dengan jumlah dan keupayaan mereka mengambil tindakan undang-undang dan mencegah orang ramai menyalahguna, menyeleweng dan menyebarkan fitnah.

Saya sudah mengarahkan agensi di bawah kementerian bukan hanya SKMM, tetapi jabatan lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengumpulkan maklumat dan menyenaraikan salah guna media sosial ketika banjir, begitu juga fitnah serta penyelewengan internet pada musim banjir. Selepas ini kita akan teliti dan ada bahagian mengumpulkan dan meneliti perkara ini. Selepas dakwaan dan perbicaraan kita akan lihat pula jumlah yang berjaya atau tidak.

S: Ada yang menyatakan SKMM dan pejabat Peguam Negara lewat bertindak menyebabkan kes fitnah siber ini lewat di dakwa di mahkamah. Benarkah begitu atau apa masalah sebenarnya menyebabkan kelewatan ini?

J: Pada masa ini untuk memantau dan mengambil tindakan isu berkaitan jenayah konvensional kita ada polis yang ramai. Untuk kawal maklumat dan fitnah siber ini, SKMM hanya ada beberapa puluh pegawai yang terlatih dan mahir serta pakar bagi menjaga 18 juta pengguna internet. Setakat ini, SKMM tidak boleh membuat pendakwaan. Pendakwaan di buat Pejabat Peguam Negara. Sistem negara ini menetapkan pengasingan kuasa yang mana pihak menyiasat, membuat pendakwaan, melapor dan menghukum terdiri daripada organisasi yang berbeza.

SKMM tidak boleh menahan orang membuat kesalahan, sebaliknya badan itu membuat tugas siasatan dan forensik internet. SKMM hanya boleh membuktikan peralatan yang digunakan untuk fitnah siber. Tugas menahan adalah polis dan pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara. Justeru, tidak timbul isu kelewatan di pihak SKMM. SKMM hanya jalankan tugasnya menyiasat. SKMM tidak boleh buat laporan kerana mereka yang menyiasat, sebaliknya siasatan dibuat jika ada laporan di terima. Setakat ini SKMM sudah meminta kerjasama 14 individu untuk hadir membantu siasatan mengenai penyebaran berita palsu berikutan bencana banjir yang melanda Pantai Timur baru-baru ini.

S: Perlukah undang-undang berkaitan dipinda bagi membolehkan SKMM dan agensi berkaitan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik?

J: Masalah penyelewengan, salah guna termasuk fitnah siber ini bukan hanya masalah Malaysia, ia juga berlaku di negara lain. Saya berasakan pihak berkaitan perlu melihat undang-undang yang ada. Perlu satu kajian terperinci mengenai undang-undang yang ada sekarang ini, jika perlu diperbaharui atau pinda maka ia boleh dibuat. Hukuman yang dikenakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya mengenai hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Perkara ini juga perlu dilihat semula.

Begitu juga undang-undang berkaitan yang hukumannya dilihat ringan tetapi kesannya kepada umum lebih besar. Pada masa masa kepakaran dan tenaga mahir dalam bidang forensik internet dan kaitan dengan media sosial perlu ditambah. Sekarang jumlah tenaga mahir dan pakar di SKMM ada beberapa puluh orang untuk menjaga 18 juta pengguna internet, maka jika mahu mereka lebih efektif maka tenaga kerjanya juga perlu ditambah. Kita tidak boleh membuat undang-undang menutup mulut atau mencegah orang tidak berkata buruk mengenai orang lain, jadi cara terbaik menyekat fitnah siber adalah kesedaran dalam diri rakyat bahawa bencana kesan fitnah siber ini lebih besar.

Justeru, gunakan pendidikan mengenai komunikasi dan tatatertib penggunaannya bagi mendidik masyarakat supaya jangan mudah menyebarkan maklumat dan salah gunakan media sosial bagi membuat fitnah. Ini lebih penting untuk diterapkan dan dijadikan nilai bagi masyarakat kita.

95 dibaca
Berita Harian X