Jumaat, 14 April 2017 | 5:12pm

Malaysia-Turki jalin kerjasama pendidikan tinggi

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turki menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan tinggi.

Pada majlis MOU yang berlangsung di Ankara Turki, hari ini, Malaysia diwakili Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh manakala Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turki, Prof Dr M A Yekta Saraç mewakili tuan rumah.

Idris berkata, kedua-dua negara bersetuju bekerjasama selain menyokong hubungan pendidikan tinggi antara institusi pendidikan tinggi di kedua-dua negara serta menggalakkan pertukaran dan hubungan kakitangan akademik dan penyelidik.

"Kedua-dua pihak mengharapkan supaya lebih banyak pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam bidang saintifik, teknikal dan pentadbiran dapat dilaksanakan di antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara menerusi MoU ini.

"MoU ini juga dijangka dapat mempermudahkan proses pengiktirafan universiti antara kedua-dua negara." katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Idris berkata, berdasarkan statistik pangkalan data bibliografik Scopus, Malaysia dan Turki adalah antara dua negara utama yang berada pada kedudukan tertinggi dalam penerbitan hasil penyelidikan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Katanya, kerjasama strategik itu dijangka dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, kehadiran pelajar Turki menyambung pendidikan di negara ini menjadi pemangkin dalam menggalakkan pelajar dari negara Islam lain di seluruh dunia menjadikan Malaysia destinasi baharu pendidikan tinggi.

Berita Harian X