Jumaat, 14 April 2017 | 6:21pm

Perlis kecewa penipuan nama Harumanis

MEMPELAM Harumanis. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa terkilan dengan sikap segelintir peniaga yang menyalahgunakan nama Harumanis untuk menipu.

Baginda bimbang pada masa depan industri mempelam Harumanis akan musnah disebabkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Baginda bertitah isu seperti penipuan dan kecurian sering berlaku sejak harga Harumanis mencecah paras tertinggi.

"Gejala penipuan ini termasuk menjual buah yang berkualiti rendah dengan harga gred A dan menjual buah mempelam jenis lain dengan menggunakan nama Harumanis.

"Kegiatan ini sekiranya tidak dibendung dengan segera, beta bimbang satu hari nanti industri Harumanis akan musnah disebabkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini," titah baginda, hari ini.

Baginda bertitah pada Majlis Pelancaran Jualan Mempelam Harumanis Perlis 2017 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, di sini.

Baginda bertitah, langkah proaktif Jabatan Pertanian Negeri Perlis baru-baru ini memperkenalkan penggunaan kod keselamatan pada buah Harumanis harus diberi pujian.

"Saya difahamkan penggunaan kod keselamatan ini akan membantu pembeli mengenal pasti lokasi ladang mempelam selain menyelesaikan masalah sekiranya ada sebarang aduan mengenai buah tidak berkualiti dan buah hilang.

"Saya berharap kaedah terbabit mampu membendung kegiatan seumpama ini yang berlaku di dalam industri mempelam Harumanis, di samping memelihara 'imej' negeri yang kita sayangi ini," titah baginda.

Berita Harian X