Isnin, 5 Januari 2015 | 8:59am

Skuter Vespa perkenal tambahan baharu

Dari kiri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Itali ke Malaysia, Mario Sammartino; Pengarah Urusan Piaggio Asia Pacific Ltd, Simone Niccolai dan SM Faisal pada majlis pelancaran Vespa LT 150 3V IE di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dari kiri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Itali ke Malaysia, Mario Sammartino; Pengarah Urusan Piaggio Asia Pacific Ltd, Simone Niccolai dan SM Faisal pada majlis pelancaran Vespa LT 150 3V IE di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Apabila seseorang memikirkan perkataan 'muda', kualiti seperti bertenaga, bergaya, keghairahan dan dinamik muncul di fikiran.

Itu yang ditawarkan Vespa LT150 3V IE baharu.

Dalam mengekalkan momentum susulan pelancaran Vespa Primavera, NAZA Premira Sdn Bhd, pengimport tunggal rasmi skuter Vespa di Malaysia, memperkenalkan tambahan baharu kepada keluarga skuter Vespa, Vespa LT 150 3V IE.

Sepanjang evolusi 68 tahun, Vespa sentiasa menemukan kelas dalam bentuk kesederhanaan tetapi tetap kekal berpegang pada gaya vintaj.

Vespa LT 150 digerakkan enjin silinder tunggal tiga injap dengan suntikan bahan api elektronik dan aci engkol baharu.

Sentuhan baharu

Versi terbaru Vespa LT 150 itu mengekalkan DNA reka bentuk Vespa, tetapi diberi sentuhan baharu dengan diperkemaskan dengan teknologi Piaggio terkini untuk menjadikannya berinovasi, bergaya dan sesuai kepada penunggang pertama.

Model itu menampilkan pelana dua warna dengan logo Vespa disulam padanya dan dua bendera Itali pada kedua-dua bahagian skuter itu sebagai penghormatan kepada negara asalnya.

Vespa LT 150 3V IE ditawarkan dalam dua warna, iaitu merah dan oren dan dijual pada harga jualan asas RM9,888 seunit.

"Vespa Malaysia menyaksikan pertumbuhan ketara dan semakin popular di pasaran negara ini dengan lebih ramai mengenali jenama itu sebagai produk gaya hidup dan bukannya sekadar untuk bergerak.

"Jumlah jualan 2014 melepasi sasaran jualan yang diterjemahkan kepada pertumbuhan 250 peratus berbanding 2013," kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, NAZA World Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika ini, Vespa Malaysia mempunyai 18 pengedar sah di Semenanjung yang patuh Identiti Korporat Vespa (CI).

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi kehadiran jenama itu di pasaran tempatan, NAZA Premira menjemput pihak berminat menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar Vespa di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Vespa Malaysia katanya, akan memberi tumpuan membangun dan mengembangkan rangkaian pengedaran dan mengukuhkan lagi perkhidmatan selepas jualan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X