Sabtu, 15 April 2017 | 1:04am

Gelanggang berkecuali Malaysia lawan Korea Utara diumum Isnin ini

Setiausaha Agung Konfiderasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John pada sidang media berhubung isu penangguhan perlawanan Antarabangsa kelayakan Piala ASIA yang membabitkan Republik Korea Utara dengan Malaysia di Ibu Pejabat AFC, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan memutuskan gelanggang berkecuali untuk perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara pada Isnin ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata Korea Utara gagal mengemukakan sebarang maklum balas walaupun tempoh berbuat demikian untuk memberi cadangan gelanggang berkecuali, tamat hari ini.

"Kami akan umumkan Isnin ini selepas Korea Utara tidak memberi sebarang maklum balas.

"Perlawanan ini hanya akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali andai tiada perubahan dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara menjelang 8 Mei, iaitu sebulan sebelum perlawanan itu dijangka diadakan," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Windsor juga berkata perlawanan ini akan diadakan secara timbal balik jika hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara kembali seperti biasa.

Terdahulu, Korea Utara diberi tempoh sebulan oleh AFC untuk mencadangkan satu gelanggang berkecuali bagi perlawanan itu.

Skuad Malaysia yang sebelum ini dilatih Datuk Ong Kim Swee, dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac.

Bagaimanapun, ketegangan politik berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari, menyebabkan kerajaan Malaysia melarang skuad itu beraksi di sana atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan permohonan kepada AFC pada 13 Mac lepas, untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali. - BERNAMA

Berita Harian X