Sabtu, 15 April 2017 | 7:21pm

Sewa beli PPR jika BN rampas kerusi - MB Terengganu


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga kanan) dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua kiri) melihat keadaan rumah contoh selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus. - Foto Ghazali Kori

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu akan menawarkan sistem sewa beli bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan Bukit Nanas di sini, sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata itu adalah janji kerajaan negeri kepada penyewa dua PPR itu, jika berjaya mengembalikan kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu daripada pembangkang, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

"Kita ada 1,200 unit PPR Hiliran dan 500 unit di PPR Bukit Nanas ini.

"Rumah ini diharap dapat diberikan secara sewa beli...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setuju jika Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dapat dirampas kembali oleh BN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus oleh Najib sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubi Embong dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Perdana Menteri, dalam ucapannya kemudian, bersetuju dengan cadangan itu dan menambah BN meletakkan harapan tinggi untuk memenangi PRU-14 dan berjanji untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan ke Terengganu.

Ahmad Razif berkata, sejumlah RM217 juta diperuntukkan untuk membina 1,200 unit PPR Hiliran dan 500 PPR Bukit Nanas.

Berita Harian X