Sabtu, 15 April 2017 | 7:58pm

Setahun bekerja, Aiman bakal bercuti ke luar negara


SELEPAS setahun bekerja tanpa henti, penyanyi remaja sensasi, Aiman Tino bakal bercuti ke sebuah pulau di luar negara pada Rabu depan. - Foto Rosdan Wahid

SUBANG JAYA: Selepas setahun bekerja tanpa henti, penyanyi remaja sensasi, Aiman Tino, 19, bakal bercuti ke sebuah pulau di luar negara pada Rabu depan.

Bapa penyanyi itu, Yusri Ishak, berkata beliau dan isteri meminta pihak pengurusan artis muda berkenaan mengosongkan jadualnya selama lima hari bermula 18 April ini bagi membolehkannya berehat dan menenangkan fikiran.

"Sebenarnya, inilah cuti panjang pertama Aiman sejak setahun menyaksikan jadualnya sentiasa penuh. Syukur di atas sokongan peminat kerana rezekinya tidak putus.

"Sebagai bapa yang sentiasa menemaninya, saya tahu dia kepenatan. Jadi, kami mahu dia berehat puas-puas. Julung kali bercuti panjang, kami terfikir untuk membawanya ke Bali kerana keindahan pantai dan suasana yang nyaman. Kami akan pergi berempat, termasuk bapa saudaranya," katanya.

Yusri yang juga pengurus penyanyi itu berkata demikian ketika ditemui pada acara promosi produk kecantikan keluaran syarikatnya, Sweet Aiman, di sebuah pusat beli-belah di sini, petang tadi.

Hadir menaiki kenderaan mewah Audi R8 bernilai RM1 juta yang dihadiahkan oleh pengasas Wonder Glow Cosmetic, Datuk Ryzal Jamaludin, selaku rakan niaga, Aiman turut menyampaikan dua lagu popularnya pada acara itu, Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta.

Sementara itu, mengulas dakwaan dirinya meletak harga tinggi disebabkan populariti yang diraih ketika ini, Aiman menegaskan dirinya tidak kisah mengambil undangan pada kadar serendah RM1,500 mengikut persetujuan syarikat pengurusan.

Katanya, perbincangan berkaitan tawaran persembahan, termasuk kadar bayaran, adalah urusan agensi dan ibu bapanya dan beliau enggan masuk campur disebabkan yakin mereka lebih arif dalam hal itu.

"Saya tidak tahu kalau ada pihak dakwa syarikat (pengurusan) meminta RM20,000 hingga RM30,000 untuk satu show. Semuanya dikendalikan syarikat yang kemudian memaklumkan kepada ayah. Soal bayaran pun saya tidak tanya kerana saya pasti ia bersesuaian.

"Semalam, umpamanya, kami menerima undangan hingga ke Kedah. Saya difahamkan bayaran sekitar RM1,500. Kalau saya 'demand', takkan saya terima, malah kami juga memandu sendiri ke sana," katanya.

Berita Harian X