Sabtu, 15 April 2017 | 11:13pm

T-Team berpesta gol belasah Kedah

PEMAIN T-Team, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris (dua dari kanan) mengasak pemain Kedah, Mohd Syazwan Zainon (kiri) pada perlawanan Liga Super T-Team lawan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: T-Team melakar kemenangan penuh gaya apabila berpesta gol menundukkan Kedah 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Sebaik aksi bermula, Kedah menguasai permainan dengan corak hantaran pendek memaksa tuan rumah bertahan.

Begitupun, hasil serangan balas yang dilakukan The Titans berjaya menghasilkan jaringan menerusi Dilshod Sharafetdinov berpunca hantaran lintang Mamadou Samassa pada minit ke-9.

Pada minit ke-17, Abdoulaye Youssouf Maiga hampir mengukuhkan kedudukan T-Team, namun tandukannya sedikit melepasi gawang gol.

Malang Kedah bermula apabila pengadil perlawanan, J Sureh melayangkan kad merah kepada Mohd Rizal Mohd Ghazali selepas mengasari Muhammad Fakhrurazi Musa minit ke-30.

Perlawanan terhenti beberapa minit selepas pemain Kedah melakukan protes dengan keputusan pengadil itu.

Kekurangan seorang pemain lawan dimanfaat sepenuhnya The Titans apabila Mohd Nor Hakim Hassan meledak gol kedua minit ke-37 sebelum Samassa melebarkan jaringan pada masa tambahan lima minit sebelum babak pertama.

Babak kedua bersambung, skuad jolokan Helang Merah melakukan asakan memburu gol, namun mudah dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Pada minit 54, sepakan Mohd Syazwan Zainon hanya meniti di palang gol tatkala penjaga gol T-Team, Mohd Hafidz Romly sudah tertewas.

Begitupun, pintu gawang Kedah yang dikawal Muhammad Ifwat Akmal Chek Kassim dibolosi buat kali keempat sekali lagi menerusi Mohd Nor Hakim minit 59 sebelum pemain sayap itu melengkapkan hatrik minit ke-64.

Berita Harian X