Sabtu, 15 April 2017 | 11:38pm

Ghaddar wira TRW amuk Pulau Pinang

REAKSI penyerang Kelantan, Mohamad Ghaddar meraikan jaringan gol pertama menentang pasukan JDT dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

BATU KAWAN: Hasrat Pulau Pinang mengutip mata penuh di gelanggang sendiri musnah apabila dijinakkan The Red Warrior (TRW) 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang (SNPP), Batu Kawan, sebentar tadi.

Penyerang berbisa TRW, Mohammed Ghaddar menjadi wira untuk pasukannya apabila berjaya menyumbat empat gol.

TRW memulakan serangan secara bertubi-tubi sejak wisel ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Tuan rumah tersentak dengan gol pertama oleh Ghaddar pada minit ke-19 hasil daripada sepakan penalti dan cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan TRW.

Anak didik Zainal Abidin Hassan terus mengatur langkah untuk mencari gol dengan beberapa percubaan menarik daripada Shukur Saidin pada minit ke-22 namun tidak berjaya.

Pemain Harimau Kumbang sekali lagi terkejut gol kedua daripada Ghaddar yang membuat percubaan terus ke arah pintu gol pada minit ke-24.

Tuan rumah terus mencuba mencari gol dan berjaya menjaringkan gol oleh Shukur Saidin pada minit ke-34 hasil hantaran lintang daripada S Kumaahran untuk menyaksikan TRW selesa di depan pada separuh masa pertama

Ghaddar terus menjaringkan gol yang ketiga pada minit ke-56 dan gol keempat pada minit ke-76.

Pemain Harimau Kumbang tidak mengalah untuk mencari gol dengan memasukkan pemain sensasi, Mohd Faiz Subri pada minit ke-64 namun setiap cubaannya berjaya dipatahkan pertahanan pelawat.

TRW terus menambah duka Harimau Kumbang apabila gol pada minit terakhir dijaringkan oleh Danial Ashraf pada minit ke-89 untuk mengesahkan malam gemilang TRW.

Berita Harian X