Ahad, 16 April 2017 | 9:22am

SEMENTOJA lancar tabung bantuan pendidikan


PENAUNG Tabung Alumni SEMENTOJA, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman melancarkan tabung bantuan pendidikan pelajar sempena Majlis Makan Malam Amal SEMENTOJA di Hotel Perdana, Kota Bharu.

KOTA BHARU: Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut (SEMENTOJA), Pasir Puteh, menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 dalam tempoh enam bulan untuk tabung bantuan pendidikan yang dilancarkan malam tadi.

Penaung Tabung Alumni SEMENTOJA, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata bantuan itu diwujudkan sebagai dana untuk membantu pelajar miskin dan akademik sekolah.

"Tabung ini bukan saja untuk bantuan kewangan, malah digunakan untuk sebarang program kecemerlangan pelajar termasuk program motivasi, bengkel menjawab soalan serta kursus kepimpinan.

"Menerusi tabung bantuan pendidikan ini, kita boleh menganggap ia sebagai tanggungjawab korporat sosial (CSR) daripada bekas pelajar SEMENTOJA yang mana ramai dalam kalangan kami sudah berjaya dan ada yang bergelar orang kenamaan," katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Beliau yang juga antara alumni terawal SEMENTOJA ditemui selepas majlis makan amal SEMENTOJA 57 yang dihadiri hampir 500 alumni sekolah terbabit sejak ditubuhkan pada 1965.


TAN Sri Hamad Kama Piah Che Othman beramah mesra dengan ahli SEMENTOJA sempena Majlis Makan Malam Amal selepas Pelancaran Tabung Bantuan Pendidikan di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Katanya, alumni juga bercadang mewujudkan biasiswa untuk pelajar miskin yang cemerlang dalam bidang akademik seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Seorang lagi alumni SEMENTOJA, Profesor Dr Abd Aziz Al Safi Ismail, berkata meskipun alumni itu baru ditubuhkan pada tahun lalu secara rasminya, ia sudah mengumpulkan lebih 300 ahli dan menjalankan beberapa program serta aktiviti.

"SEMENTOJA 57 menjalankan aktiviti kunjung muhibah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli yang mengalami masalah atau musibah.

"Dengan majlis amal yang dianjurkan malam ini, kita harapkan lebih ramai lagi bekas pelajar SEMENTOJA dapat dijejaki sekali gus mengumpulkan lebih ramai alumni dalam usaha membantu pelajar sekolah itu," katanya.

Berita Harian X