Ahad, 16 April 2017 | 2:38pm

Aktivis Peter Chong pulang


TAN Sri Khalid Abu Bakar memuat naik dua keping gambar menerusi akaun Twitternya.

KUALA LUMPUR: Aktivis Peter Chong, 54, yang dilaporkan hilang sejak 6 April lalu, pulang ke tanah air dari Pattaya, tengah hari tadi.

Ketibaan Peter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 12 tengah hari tadi, melenyapkan spekulasi sebelum ini yang mendakwa beliau diculik.

Kepulangan bekas pembantu peribadi Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa itu turut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, sebentar tadi.

Khalid turut memuat naik dua keping gambar Peter berbaju T biru dan berseluar pendek dalam keadaan ceria bersama seorang lelaki, manakala satu lagi gambar menunjukkan Peter diiringi dua lelaki di KLIA.

"Syabas @PDRMsia Kuala Lumpur. 'Missing' Peter Chong is back from Pattaya (Peter Chong yang 'hilang' sudah kembali dari Pattaya)," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi BH, berkata ketika ini Peter masih berada di KLIA untuk disoal siasat.

"Beliau (Peter) balik sendiri (ke tanah air). Berdasarkan maklumat, kita kesan beliau semalam di Hatyai, Thailand. Beliau sedang disoal siasat sejurus tiba di KLIA," katanya.

Peter sebelum ini dikesan memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 7 April lalu, iaitu sehari selepas dia dikesan hilang dari rumahnya di Bukit Ceylon, di sini.

Berdasarkan gambar dirakam Jabatan Imigresen, aktivis itu memasuki Thailand pada jam 6.30 pagi, namun tidak diketahui niat atau tujuannya menghilangkan diri ke sana.

Bagaimanapun, Khalid sebelum ini mengklasifikasikan kes Peter sebagai orang hilang kerana tiada bukti kukuh beliau diculik atau dilarikan.

Kehilangan Peter menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat, malah ada yang mendakwa beliau dilarikan seperti mana kes paderi Raymond Koh Keng Joo, 62, yang hilang pada 13 Februari lalu.

Selain Peter, tiga lagi individu yang diklasifikasikan sebagai orang hilang adalah paderi, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 6 Mac lalu, serta Amri Che Mat di Padang Besar, Perlis pada 24 November 2016.

63 dibaca
Berita Harian X