Ahad, 16 April 2017 | 4:45pm

Balai Polis Mambau perlu dinaik taraf


MUHAMAD Zaki Harun (kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Lee Tian Hock melakukan balingan bola boling sebagai simbolik perasmian majlis penutup Program Hari Sukan Dua Penjuru di d'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

SEREMBAN: Pangkalan Udara (PU) Sendayan dekat sini yang dijangka beroperasi tahun depan, turut memerlukan balai polis berdekatan dinaik taraf.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata PU Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, adalah di bawah pentadbiran Balai Polis Mambau.

Katanya, penduduk bandar itu yang kini mencecah kira-kira 20,000 orang, dijangka bertambah apabila lebih 2,000 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan keluarga berpindah ke PU Sendayan.

"Kita harap Balai Polis Mambau yang kini adalah gred D dapat ditingkatkan ke B atau sekurang-kurangnya gred C tahun depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Hari Sukan Dua Penjuru di sini, hari ini.

Program disertai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan kakitangan Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts).

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock.

Muhamad Zaki berkata, kertas kerja menaik taraf Balai Polis Mambau sudah dihantar ke Bukit Aman akhir tahun lalu, diikuti lawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, untuk memeriksa kawasan berkenaan.

Katanya, kenaikan taraf itu penting kerana membolehkan pertambahan anggota dan kelengkapan lain, sekali gus membolehkan polis meningkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat.

Selain itu, katanya Matrix Concepts yang memajukan Bandar Sri Sendayan, memperuntukkan kawasan seluas kira-kira 2.02 hektar di Jalan Kayu Ara di sini, untuk pembinaan Balai Polis Mambau yang baharu dan perkara ini akan dikemukakan kepada Bukit Aman untuk pertimbangan.

Berita Harian X