Ahad, 16 April 2017 | 11:27pm

Suspek utama kes bunuh warga emas ditahan

KUALA KRAI: Seorang bekas anggota tentera yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan warga emas di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada, Rabu lalu, ditahan hari ini.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal di Kuala Krai ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Krai di sekitar daerah ini.


ZULKARNAIN Ismail Al Haj

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, berkata ketika ditangkap, polis turut menemui sebentuk cincin emas yang dipercayai milik mangsa.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, kes ini dianggap selesai dan kita akan mendapatkan perintah tahanan reman esok di Mahkamah Kuala Krai.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan", katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

BH sebelum ini melaporkan, Rokiah Mamat, 61, ditemui dalam berlumuran darah dengan tujuh tikaman di bahagian belakang akibat disamun sebelum dibunuh di ruang dapur rumahnya.

Mangsa ditemui mati oleh anak keduanya yang bertugas sebagai seorang guru ketika pulang dari mengajar kira-kira jam 3.30 petang itu.

67 dibaca
Berita Harian X