Isnin, 17 April 2017 | 9:38am

Warga Jakarta akan keluar mengundi lusa

'AHOK' Tjahaja Purnama (kiri) dan Anies Baswedan.

JAKARTA: Penduduk di ibu kota ini akan keluar mengundi pada lusa selepas kempen yang menyaksikan ketegangan politik dan agama di negara majoriti penduduk Islam dunia itu.

Tinjauan menunjukkan perlumbaan kini bertambah sengit dengan penyandang Gabenor Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama, seorang etnik Cina Kristian, semakin hampir dengan pencabarnya, Anies Baswedan, bekas menteri pendidikan.

Ahok kini sedang dibicara atas tuduhan menghina agama berpunca daripada kempen besar-besaran diketuai penyokong tegar Islam dan dakwaan komplot menggulingkan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo.

Pilihan raya Jakarta dianggap pilihan utama menjelang undian presiden 2019, antara dasar sekular diamalkan di Indonesia sejak kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua dan politik Islam tegar yang semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis politik dan penasihat bekas Presiden Abdurrahman Wahid, Wimar Witoelar berkata, undian itu adalah ujian kes buat masyarakat majmuk Indonesia, jika ia dapat bertahan daripada tekanan kumpulan agama dan penyokong populis.

"Indonesia berada di persimpangan, saya maksudkan Indonesia, bukan hanya Jakarta," katanya.

Satu tinjauan dijalankan 12 hingga 14 April lalu oleh firma Indikator menunjukkan Anies memperoleh sokongan 48.2 peratus berbanding 47.4 peratus untuk Ahok dengan 4.4 peratus tidak pasti.

Ahli perniagaan bimbang tentangan ganas daripada pihak yang kalah dalam pilihan raya, sekali gus menjejaskan persekitaran pelaburan selain membahayakan pembaharuan ekonomi mantap diperkenalkan Jokowi.

Ahok, yang menggantikan Jokowi pada 2014 sebagai gabenor ibu kota ini selepas berkhidmat sebagai timbalannya, menyaksikan popularitinya meningkat ketika beliau menangani pembangunan uzur, masalah banjir kronik dan rasuah endemik di bandar penuh sesak dihuni lebih 10 juta penduduk.

Sokongan terhadapnya menjunam selepas satu video disunting beredar September lalu mengatakan Ahok mengejek petikan al-Quran digunakan pencabarnya untuk mempertikaikan Muslim tidak seharusnya mengundi individu bukan Islam sebagai pemimpin. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X