Isnin, 5 Januari 2015 | 4:43pm

Lagi bukit di Pulau Pinang digondol

BALIK PULAU: Selepas isu pencerobohan Bukit Relau pada pertengahan 2013 mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, aktiviti penggondolan bukit dilihat terus berlaku di negeri ini.

Kali ini Bukit Batu Itam/Bukit Laksamana yang menghubungkan Sungai Pinang di Balik Pulau dan Teluk Bahang digondolkan dan jelas kelihatan sebahagian kawasan bukit itu telah 'botak'.

Tinjauan BERNAMA mendapati kawasan bukit yang dahulunya dipenuhi pokok hijau kini gondol akibat ditebang serta terdapat kesan seperti laluan keluar masuk lori di kawasan yang tertera papan tanda bertulis 'tanah persendirian' itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, ketika dihubungi, berkata beliau menyedari puncak bukit itu 'botak' sejak dua minggu lepas ketika berada di kedai makan di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau.

Beliau berkata, kesan gondolan bukit itu jelas kelihatan dari arah Kampung Sungai Pinang dan berdekatan empangan Teluk Bahang.

"Bukan ke segala aktiviti pembangunan terutama di atas bukit perlu dipantau oleh kerajaan negeri. Sama ada mereka tidak tahu atau buat tak tahu," katanya.

Muhammad Farid mendakwa sebarang pembangunan di atas bukit itu akan membahayakan penduduk setempat kerana kawasan itu dipercayai kawasan tadahan air.

Isu penggondolan kawasan bukit di sekitar Bukit Relau pada pertengahan 2013 mendapat bantahan pelbagai pihak yang mempersoal kredibiliti kerajaan negeri itu membenarkan aktiviti penebangan pokok dan penggondolan kawasan bukit itu.

Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 yang diwartakan pada 28 Jun 2007 melarang pembangunan di kawasan yang melebihi 76.2 meter (250 kaki) di atas paras laut dan di cerun dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

- BERNAMA

Berita Harian X